Penyokong

Rabu, 29 Ogos 2012

Contohilah Muslimin Jepun

Asalamu'alaikum wbt dan Salam Aidilfitri.

Apa khabar semua pembaca? Hang Anis berharap semuanya sihat-sihat hendaknya. Hang Anis ingin berkongsi mengenai satu video Youtube yang Hang Anis jumpa iaitu Islam and Muslim in Japan.


Hang Anis sangat berbangga dengan kesungguhan umat Islam di Jepun yang tabah mempraktikkan cara hidup Islam meskipun Islam bukanlah agama asal nenek moyang sebilangan umat Islam di sini. Video ini turut memaparkan bagaimana mereka tertarik untuk mengenal Allah s.w.t. dan akhirnya memeluk Islam. Hang Anis ingin mengucapkan terima kasih kepada pembikin video klip ini. Semoga usaha kalian diberkati Allah s.w.t.

Semoga kita dapat mengambil dan mencontohi semangat saudara kita di Jepun ini.

Hang Anis teringat mengenai perbualan junjugan mulia Rasulullah s.a.w dengan sahabat-sahabat baginda, mengenai saudara-saudara yang paling dirindui baginda.

Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi saw. dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan saudara-saudaraku( ikhwanku ),” berkata Nabi saw. “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar. “Bukan,” jawab Nabi saw. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”. 

Para sahabat menjadi keliru dan hairan siapakah yang dimaksudkan dengan ikhwan yang Nabi rindukan itu. Setahu mereka yang paling rapat dengan Nabi ialah para sahabat sendiri. Melihatkan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain kebingungan, Nabi segera menjelaskan; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”. Para sahabat masih belum berpuas hati dan bertanya, “Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan( saudara) engkau?”. “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku!” sekali lagi Nabi menjelaskan. 

“Wahai Abu Bakar, tidakkah engkau juga merindui ikhwanku itu, kerana mereka juga mencintai engkau lantaran engkau adalah sahabatku?” Persoalan ikhwan menjadi teka-teki kepada para sahabat. Kemudian Nabi memberitahu bahawa mereka ialah umat Nabi sesudah wafatnya baginda. Walaupun mereka tidak berjumpa dengan baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka membaca al-Quran dan al-Hadis serta mencintai Nabi-Nya sebagai Rasulullah yang penghabisan. Mereka juga mencintai sahabat-sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam”. 

“Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 70 kali ganda orang-orang yang beriman dengan aku, meskipun tidak pernah berjumpa dengan aku!” jelas Nabi lagi. 

Semoga kita semua tergolong dalam ikhwan ini. Insyaallah.

-Hang Anis-

Tiada ulasan: