Penyokong

Isnin, 23 Januari 2012

HAK HARTA SEPENCARIAN


Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.Dalam Al-Quran ada menyebut:

Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan".                                                        (Surah An-Nisaa' : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan.Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak'.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (Mufti Negeri Perak Sekarang) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak".

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok Wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:

1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

3. Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.

Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:

"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budibicaranya". Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya".

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto' binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian.

Fakta kesnya adalah seperti berikut:

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami.

Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:
"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (Mufti Negeri Perak Sekarang) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami".

Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.Harta sepencarian adalah satu prinsip yang berasaskan adat temenggung dan diterima pakai di dalam undang-undang kekeluargaan Islam di negeri-negeri dalam Malaysia. Ia bermaksud harta yang diperolehi oleh suami atau isteri sepanjang tempoh perkahwinan yang perlu dibahagikan di antara mereka selepas berlaku perceraian. 

Menurut konsep harta sepencarian mana-mana pasangan tetap berhak kepada harta sepencarian walaupun dia tidak berkerja. Ini bermaksa seseorang isteri yang menjadi surirumah tetap berhak mendapat sebahagian dari harta suaminya jika mereka bercerai dengan syarat harta tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan.Dalam kes Robert alias Kamarulzaman lwn Umi Kalsom (1966) 1 MLJ 163, sepasang suami isteri membeli sebuah rumah di Setapak dengan harga $50,000 dengan sumbangan dari suami sebanyak $40,000 dan baki $10,000 dibayar oleh isteri. Rumah itu didaftarkan di atas nama isteri. Apabila bercerai, Robert menuntut bahagiannya berasaskan nisbah sumbangan yang diberikan. Mahkamah membuat keputusan berasaskan prinsip harta sepencarian dengan mengarahkan harga rumah tersebut dibahagi dua di antara plaintiff dan defendan.

Dalam kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato' Dr. Hussein, Jernal Hukum Jilid III Bah. 1, Sept. 1983, 125, defendan (bekas suami) adalah seorang hartawan yang memiliki antara lain 6 bidang tanah, 6 lot rumah kedai di Wisma Central, beberapa buah rumah dan kenderaan. Plaintiff menuntut sebuah rumah, sebuah kereta dan beberapa harta lain di bawah harta sepencarian.

Defendan mendakwa bahawa plaintiff tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam usaha mendapatkan harta benda tersebut kerana plaintiff adalah seorang suri rumah.Mahkamah memutuskan bahawa walaupun plaintiff tidak menyumbang secara langsung dalam pemerolehan harta, namun plaintiff tetap berperanan penting sebagai isteri yang memberikan ketenangan jiwa, kedamaian dan sokongan moral kepada suami sehingga membolehkan defendan memperolehi harta tersebut.

Harta sepencarian tidak dilihat dari sudut usaha memperolehi secara sempit sebaliknya melihat kepada peranan kedua-dua suami dan isteri yang berkongsi hidup selama mereka dalam ikatan perkahwinan. Oleh yang demikian, Mahkamah membenarkan tuntutan harta sepencarian plaintiff termasuk 3 ekar tanah yang didaftarkan di atas nama defendan.

sumber : Laman iluvislam.com

Tiada ulasan: