Cari Blog Ini

Memuatkan ...

Sabtu, 2009 Julai 04

Konsep Ilmu Pengetahuan Menurut Imam al - Ghazali

Imam al – Ghazali amat menekankan konsep ilmu pengetahuan di mana baginya ilmu pengetahuan ialah sesuatu yang paling mulia yang dapat dicapai oleh manusia dalam kehidupan ini di samping bertujuan untuk mencari hakikat kehidupan.

Untuk menimba ilmu pengetahuan, seseorang individu seharusnya memiliki nilai kesabaran dalam diri. Menimba ilmu pengetahuan melibatkan pelbagai proses seperti melakukan pemerhatian, penyelidikan, pencerapan dan sebagainya. Proses tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasti akan wujudnya pelbagai pancaroba yang tidak diketahui dalam proses pencarian ilmunya.

Menuntut ilmu sememangnya memerlukan kesabaran. Sebagai contohnya, Imam al-Ghazali menganggap bahawa ‘setiap peristiwa yang berlaku memberikan faedah dan meninggalkan warna dalam dirinya ke arah mencintai dan merakusi ilmu pengetahuan.’

Sekarang jelaslah bahawa setiap perkara yang dilalui dengan kesabaran bukan sahaja dapat menambahkan pengalaman malah juga meningkatkan pengetahuan. Sabar adalah jalan keluar bagi orang yang tak bisa menemukan jalan keluar dan hanya dengan kesabaran kita dapat mengecapi kejayaan yang membanggakan.

Ajaran yang kedua yang ditekankan oleh Imam al-ghazali mengenai ilmu pengetahuan ialah ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu pengetahuan. Menurutnya ‘ilmu pengetahuan itu sendiri merupakan suatu kelazatan, dan dituntut untuk tujuan tersebut. Jadi suatu yang dituntut kerananya adalah lebih baik daripada sesuatu yang dituntut untuk tujuan lain.’

Pengajaran yang cuba disampaikan ialah seseorang insan harus ikhlas dalam menimba ilmu yakni dengan satu matlamat untuk menguasai dan mendalami ilmu yang dicari. Ilmu yang diperolehi secara ikhlas dan jujur akan memberi kenikmatan kepada insan tersebut dalam prosesnya mencari ilmu.

Individu yang ikhlas dan jujur dalam mencari ilmu boleh diletakkan sebagai manusia yang hampir sempurna. Hal ini kerana individu seperti ini bukan sahaja memiliki kecerdasan, kesedaran dari segi akal fikiran malah mempunyai kesanggupan dan keikhlasan untuk mengamalkan perbuatan yang memenuhi perintah-perintah agama. Oleh sebab itulah mereka mendapat kedudukan yang layak untuk mendapat keredhaan daripada Allah di samping kejayaan yang membanggakan.

Seterusnya, ajaran yang ketiga yang diutarakan mengenai ilmu pengetahuan ialah kesyukuran. Kita sebagai manusia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan kelebihan akal oleh Allah. Akal membezakan manusia dengan makhluk Tuhan yang lain. Manusia dianggap sebagai makhluk Tuhan yang hampir sempurna sifatnya dengan adanya akal.

Dengan adanya akal yang dikurniakan melebihi makhluk lain, manusia dapat mencipta dan mengubah hal-hal yang berkaitan dangan duniawi. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa manusia mampu menggoncang dunia. Terbuktilah bahawa kita seharusnya merasa sangat bersyukur dengan kelebihan yang diberikan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga halangan yang sehingga membawa kejatuhan dan kemerosotan akal fikiran dalam menerima ilmu. Menurut Imam al-ghazali, antara penyebab kemerosotan akal ialah akal tidak berada dalam tempat yang sewajarnya.

Keinginan nafsu melebihi akal fikiran yang waras sehingga membuatkan manusia alpa untuk bersyukur. Misalnya seseorang yang bijak tidak berusaha untuk memperkuat imannya dengan berzikir kepada Allah, malahan sebaliknya taksub dalam mengejar kehidupan duniawi.

Pengajarannya, kita haruslah mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan kepada kita. Setiap ilmu yang diperolehi haruslah digunakan dengan sebaik- baiknya.

Ajaran berikutnya yang ditekankan adalah tidak bersikap tamak dalam mencari ilmu. Sikap tamak dalam mencari ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang baik di mana kita dapat memperolehi ilmu pengetahuan melebihi orang lain.

Namun sikap tamak yang dipandang enteng oleh masyarakat ialah setelah seseorang individu mendapat ilmu dan akhirnya menjadi lupa daratan. Individu yang seperti ini lebih mengutamakan nafsu semata-mata sehingga timbullah sifat sombong dan berlagak setelah mengetahui ilmu yang diperolehi melebihi orang lain.

Namun, manusia yang selalu meninggikan diri setelah memperoleh kejayaan tidak akan mendapat keredhaan daripada Allah. Orang yang seperti ini sering membangkang kepada Tuhan dan ingin mencuba untuk meniru sifat-sifat Tuhan dalam hal sifat kekuasaan. Akhirnya, sifat tamak yang menguasai diri tidak akan mendatangkan faedah kepada insan tersebut.

Oleh yang demikian, sifat tamak atau keserakahan dalam mencari ilmu yang akhirnya mewujudkan sifat-sifat buruk seharusnya dijauhi oleh setiap manusia.

Akhir sekali, ajaran yang kelima yang ditekankan oleh Imam al-ghazali mengenai ilmu pengetahuan ialah ketekunan dalam menimba ilmu pengetahuan. Untuk mencapai kejayaan, manusia tidak seharusnya bergantung kepada nasib dan penerimaan ilmu daripada orang lain semata-mata tetapi sebaliknya tekun dan berdikari sendiri.

Ilmu yang dicari bukanlah sekadar untuk melengkapi diri dengan keperluan duniawi namun juga di akhirat. Selain itu, menurut tokoh ini juga, ilmu yang dicari haruslah memberikan nilai atau pulangan kepada kita. Maksudnya ialah setiap ilmu yang ditimba contohnya ilmu agama haruslah memberi kesedaran dan kesan yang mendalam kepada individu yang menuntutnya. Dengan itu, ilmu yang didapati tidaklah sia-sia.

Imam al-Ghazali merupakan seorang tokoh yang amat tekun dalam mencari ilmu. Ketekunannya dalam mencari ilmu pengetahuan dan menyelesaikan keraguan yang wujud ditambah lagi dengan keinginan semula jadi mendorong tokoh ini mampu menjadi seorang yang berjaya dan masyhur dalam bidang falsafah. Kita seharusnya mencontohi Imam al- Ghazali dalam persoalan mencari ilmu pengetahuan kerana dengan berkat ketekunan dan berdikari sahaja kita dapat kejayaan yang membanggakan.

sumber : TemanPetunjuk

BULAN REJAB DATANG LAGI ..

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.

Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.

Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.


Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).
Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.

Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena bakal kehadiran Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Janganlah kita buat sesuatu tanpa asas atau sandaran yang kukuh. Kalaupun akan melaksanakan Puasa Sunat Rejab, gantikanlah puasa Ramadhan yang belum diganti itu. Sekadar mengingati sesama kita, insya`allah.

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. Insya`allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

sumber : http://atriza.blogspot.com/