Penyokong

Selasa, 22 Disember 2009

SAIYIDATINA KHADIJAH LAMBANG SEJATI

Menziarahi maqam Khadijah r.a. membangkitkan perasaan dan semangat perjuangan yang luar biasa. Dia lambang kasih isteri yang sejati terhadap suami. Dia lambang ketekunan ibu dalam mendidik anak-anak mewarisi ibu bapa dalam perjuangan silih berganti generasi. Dia lambang pengorbanan unik ketika bersendirian mendokong suaminya menghadapi ramai golongan berkuasa di Mekah serta kejahilan dan ketakutan orang ramai di Semenanjung Arab. Beruntung Khadijah r.a. berjaya menjual dunianya untuk membeli akhirat yang lebih kekal dan abadi apabila Jibril datang memaklumkan kepada Nabi s.a.w, “Berilah khabar gembira kepada Khadijah bahawa sebuah rumah telah dibina untuknya di syurga...”

Khadijah r.a. seorang tokoh korporat perniagaan antarabangsa. Barang dagangannya sampai hingga ke Syam, ketika itu di bawah Kerajaan Eropah (Rom). Seorang yang punya harga diri, digelar “At-Tahirah” (wanita suci) yang pernah menolak pinangan orang bangsawan tetapi melamar Muhammad yang dulu kerjanya menggembala kambing sesiapa yang boleh memberinya upah. Tidak lain setelah mendengar laporan Maisarah tentang akhlak Baginda s.a.w di sepanjang perjalanan perniagaan barangan Khadijah di Syam. Dia memilih ciri akhlak di kala manusia lain di Mekah ketika itu memilih ciri harta, pangkat dan pengaruh, seperti gaya ramai orang Malaysia Boleh hari ini. Bukan Nabi s.a.w sahaja tak berharta, tetapi saudara mara yang pernah menjaga Baginda s.a.w juga tidak berharta seperti Aminah, Abdul Muttalib dan Abu Talib.

“Aku takut terhadap apa akan terjadi terhadap diriku”, kata Nabi s.a.w kepada Khadijah r.a. dalam keadaan gementar sebaik tiba di rumah dari Gua Hirak. Jawab Khadijah r.a. spontan dengan penuh yakin, seyakin di hari dia memilih dengan tepat bakal yang akan menjadi suaminya, “Kalla, ma yukh zikallahu abadan. Innaka la tasillu rahm, wa taksibul makdum...” (Sekali-kali tidak, Allah sekali-kali tidak akan mengsengsarakan engkau. Engkau menghubungkan silaturrahim, engkau memberi makan orang yang kelaparan).

Subhanallah!!! Saya melihat Khadijah r.a. seorang yang bulat keyakinan dan kasih terhadap suaminya, sebulat keyakinan dan kasih suaminya terhadap Tuhannya. Hasilnya, anak-anak mereka bulat terhadap Risalah ayah dan ibunya. Zainab binti Muhammad memilih meninggalkan suaminya Al-Ass di Mekah, menunggang unta menuju kepada ayahnya s.a.w. yang telah berhijrah bersama kaum Muslimin di Madinah. Ruqayyah dan Ummu Kalthum tabah disingkirkan hanya kerana aqidah yang diperjuangkan oleh ayahnya. Fatimah r.a. menangis tetapi tabah sambil membersihkan rambut ayahnya yang ditabur kotoran oleh Quraisy.
“Jangan menangis wahai anakku. Sesungguhnya Allah melindungi ayahmu”, kata Nabi s.a.w kepada Fatimah. Mereka Akhawat Mukminat setabah ibu yang mendidik dan membesarkan.

Kemelut rumahtangga orang ramai hari ini ialah tidak bulatnya keyakinan si isteri terhadap suami, lantaran tidak bulatnya si suami terhadap Tuhan dan dakwahNya. Ramai suami yang tidak punya risalah dan ideologi apa-apa dalam hidup untuk dicapai. Perjuangan paling popular dewasa ini hanya sekadar mencapai rumah dan kereta mewah serta anak-anak yang bergaji besar yang semuanya nanti boleh dibangga-banggakan di depan sahabat handai dan taulan. Kesannya, keyakinan tidak bulat, kesangsian dan curiga dalam rumahtangga sering mewarnai kehidupan, banyak perkara berkira, perselisihan kerap berlaku, perjuangan, minat dan halatuju berbeza jauh walau hidup sebumbung dan dilimpahi kemewahan. Jika ada yang minat dan terlibat dalam dakwah semasa menuntut, ia hanya hobi sementara menunggu tamat belajar, mendapat ijazah dan berkarier.

Siddiq (membenarkan) lebih tinggi dari iman. Syurga Firdaus dihuni oleh para Nabiyiin (Nabi-nabi), Siddiqiin (orang-orang yang membenarkan), Syuhadak (orang-orang yang mati syahid) dan Salihin (orang-orang saleh), mereka adalah sebaik-baik teman di akhirat. Khadijah r.a. bukan sahaja telah beriman dengan Risalah yang suaminya baru terima dari Gua Hirak, tetapi juga telah membenarkan Risalah tersebut dengan mengorbankan segala perasaan, masa, harta dan apa sahaja yang dia miliki demi memenangkan agama ini mengatasi Quraisy di Mekah dan Rom serta Parsi di muka bumi.

Boikot ekonomi Quraisy dan kabilah-kabilah Mekah walaupun menyebabkan kesengsaraan terhadap Nabi s.a.w. dan para Sahabat r.a. tetapi ia tidak berjaya antara lain kerana pengorbanan harta yang dihulurkan Khadijah r.a. ketika itu. Sindiran, fitnah, tohmahan dan perang psikologi yang dilancarkan Quraisy, walau memberi impak teruk kepada dakwah Islam tetapi tidak mempu membunuh semangat Nabi s.a.w lantaran dokongan moral, kasih dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Khadijah ketika itu.

Dalam perjuangan, peristiwa sedih sering berlaku kepada mana-mana pejuang. Kepada Nabi s.a.w, di antaranya kesedihan Baginda s.a.w ialah kematian Khadijah r.a., kematian Abu Talib, dibaling batu di Taif, Hamzah r.a. dibunuh dan dimamah jantungnya, pembunuhan Rombongan Rajik 60 para hafiz dll. tetapi hanya tahun kematian Khadijah r.a. digelar Nabi s.a.w. sebagai Tahun Sedih.

Wafak (setia) Nabi s.a.w. kepada Khadijah r.a. ialah Nabi s.a.w. sering memuliakan kawan-kawan lama Khadijah r.a. yang masih hidup dengan bertanya khabar dan menyampaikan hadiah dan kiriman. Nabi s.a.w. juga sering menyebut tentangnya sehingga apabila Aisyah r.a. berkata, “Bukankah Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik?”, jawab Nabi s.a.w,
”Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepadaku apabila manusia lain kufur kepada aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku. Dia memberi aku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniakan anak-anak (yang mengikut perjuanganku)”.

Dari hadis ini dapat kita fahami apakah faktor dan kualiti seorang isteri yang sebenar yang menjadi pilihan seorang Nabi yang paling dikasihi Allah s.w.t. Tidak lain dan tidak bukan ialah faktor meyakini penuh perjuangan ideologi, berkorban harta dan jiwa untuk memenangkannya serta menyedia dengan mendidik anak-anak untuk menyambung perjuangan yang panjang dan jauh dari kemenangan.

Kemelut para Duat hari ini di antaranya ialah dari sedikit mereka yang meyakini perjuangan untuk memenangkan Islam ini, dan lebih sedikit lagi mereka yang mentasdiq (membenarkan) perjuangan tersebut dengan bukti amal dan pengorbanan. Ramai yang mengatur usrah dan tamrin untuk belia dan dewasa sedang isterinya sendiri tidak berusrah dan anak-anaknya tidak tahu di mana. Ramai yang menggalakkan umat ke masjid dan majlis-majlis ilmu sedang anaknya digalakkan ke luar negara yang terlalu ceruk tanpa masjid apatah lagi menghadiri majlis-majlis ilmu di sana. Ramai yang bercakap tentang pengorbanan harta tetapi pertubuhannya miskin tidak mampu memberi kebajikan ahli sedang ramai yang berkereta dan hidup mewah di banglo yang tersergam. Ramai yang menyeru berkorban jiwa dan masa sedang masa kerier tambahan seperti locum, consultancy, direct-selling, tuition dan lain-lain lebih mendapat tempat dari Dakwah Fardiyah sedang masa dan tenaga yang diperlukan, teknik dan strategi adalah hampir sama.

Apabila kita tidak bulat, maka anak-anak sendiri atau anak didik kita juga tidak bulat. Hasilnya, dari aduan kepada saya ramai anak-anak Duat yang merokok, bergirl atau berboyfriend, chit-chat, skinhead, metal dan ada yang tidak diakui anak oleh Duat. Bagi anak yang Duat cuba juga dekatkan mereka kepada dakwah, mereka tidak mantap, tiada keyakinan diri, menurut sahaja, berpura-pura sementara menunggu dewasa, berkarier dan merdeka.

Alangkah dakwah ini memerlukan pengurus rumahtangga seperti Khadijah r.a. Dia berjaya membuktikan pengurusan suami, anak-anak dan harta dengan jaya, bukan sekadar kata-kata dan tazkirah. Semua kualiti ini yang sering disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w. Kepada memiliki dan membuktikan kualiti ini juga kita mendorong para penuntut dan wanita Islam hari ini.

“Salam sejahtera wahai Khadijah Al-Khuwailid. Salam sejahtera wahai isteri Rasulullah s.a.w. Salam sejahtera wahai Ummi Mukminin (ibu kaum mukminin). Salam sejahtera wahai sekelian penduduk Tanah Perkuburan Al-Makla. Sesungguhnya kami, insyaAllah, akan bersama kamu. Kamu mendahului kami dan kami akan mengikut kemudian. Moga Allah mengampunkan kami dan kamu, mengampunkan orang yang terdahulu dari kalangan kamu dan yang terkemudian. Ya Allah, berilah pahala dan ganjaran kepada mereka atas sumbangan mereka kepada Islam. Ya Allah, jangan Engkau sekat kepada kami untuk beroleh pahala mereka. Jangan Engkau duga kami sesudah mereka. Ampunilah kami dan mereka. Amin” (Doa ziarah Khadijah r.a. dan Perkuburan Al-Makla, Mekah).



Tiada ulasan: