Apakah gerangan budi balasan apabila seorang anak tanpa pilu di hati, tergamak menghantar ibunya ke rumah kebajikan setelah mendapat tahu kisah silam ibunya yang pernah bekerja sebagai ‘kupu-kupu malam'? Si ibu pula terpaksa melacurkan dirinya untuk menyara anak-anak setelah ditinggalkan suami. Salah siapakah kisah tragis ini???
Sudah pasti jari dituding tepat ke arah si anak kerana dianggap berdosa memperlakukan ibunya sebegitu rupa. Mungkin juga si anak akan menyalahkan ayahnya kerana tergamak meninggalkan ibu terkapai-kapai meneruskan hidup bersama anak-anak yang masih kecil . Malang bagi si ibu apabila terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya di rumah kebajikan sehinggalah meninggal dunia.
Seandainya kisah sedih ini dinilai berlandaskan emosi yang tidak dipandu syarak, maka akan terlihat oleh akal bahawa ini adalah permasalahan picisan kehidupan peribadi atau keluarga itu semata-mata.
Tidak dinafikan, memang benar si anak berdosa besar memperlakukan ibu yang sepatutnya dilayan dengan penuh kasih sayang sebegitu rupa. Tidak terlepas juga dosa si suami yang mengabaikan tanggungjawabnya dengan menghilangkan diri begitu sahaja. Malang sungguh si ibu yang tidak kembali kepada aqidah Islam sebagai tolok ukur sebelum melakukan perbuatannya yang hanya berpaksikan niat yang suci murni tanpa memikirkan dosa iaitu melacurkan diri untuk mencari sesuap nasi demi menyara kehidupan anak-anak yang masih kecil .
Namun, sebaliknya jika kepimpinan berfikir dilandasi aqidah Islam tatkala meneliti realiti kehidupan yang terhidang di hadapan mata, sudah pasti yang terpancar dari akal yang cemerlang itu, ini adalah satu petanda yang terkait dengan permasalahan sebuah sistem kehidupan ataupun ideologi(mabda).
Tindakan nekad si ibu malang itu bergelumang dengan dosa melacurkan dirinya demi sesuap nasi bagi memenuhi keperluan asas(hajatul udowiyah), sudah pasti mengetuk kotak pemikiran seorang Muslimah yang prihatin untuk terfikir, apakah mabda’ Islam tidak membela umatnya??
Yakinlah, Islam sebagai suatu ideologi dan cara hidup yang sahih pasti mampu menangani masalah kemiskinan sebegini. Namun yang pasti ianya mestilah diterapkan sebagai sebuah sistem yang menyeluruh dan bersepadu tanpa mengabaikan mana-mana aspek sekalipun. Dalam menangani perkara di atas, Negara akan menjamin dan memastikan keperluan asas (makanan, pakaian, tempat tinggal) dipenuhi. Ini dilakukan dengan menerapkan hukum yang mana lelaki wajib mencari nafkah untuk diri dan keluarganya sebagaimana firman Allah: “Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara maaruf” [TMQ Al-Baqarah (2):233].
Jika si ayah tidak mampu bekerja dan mencari nafkah dengan sebab-sebab tertentu maka kewajipan tadi menjadi tanggungjawab kerabat atau saudara mara terdekat yang mempunyai hubungan darah untuk memenuhinya sepertimana yang termaktub dalam firman Allah Subhanahu wa Taala : ”Dan kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan maaruf. Seseorang tidak dibebani melainkan dengan kadar kesanggupannya. Janganlah seseorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan demikian.” [TMQ Al-Baqarah (2):233].
Jika seseorang itu miskin dan tiada waris mahupun kerabat terdekat yang mampu membantunya, maka menjadi kewajipan Negara untuk memberi nafkah melalui Baitulmal (kewangan Negara).
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam : “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah tidak mempunyai anak dan ibu bapa), maka dia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].
Peranan Negara dalam menjamin pemenuhan keperluan asas boleh dilihat jelas di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab yang mana sistem Islam berlandaskan aqidah Islam diterapkan. Pemimpin Islam dengan gelaran Amirul Mukminin ini sangat prihatin dalam hal-ehwal kebajikan rakyatnya dan merupakan pemimpin yang sangat bertanggungjawab dan amanah. Beliau sering meronda mengelilingi kota dan kampung untuk meninjau hal-ehwal umatnya. Tergamam beliau setelah mendapati dirinya hampir mengabaikan keperluan umatnya tatkala mendengar rintihan sayu seorang ibu sedang memujuk anak-anaknya yang menangis kelaparan. Si ibu sanggup merebus batu-batuan dengan harapan anak-anaknya menyangkanya sedang memasak makanan dan oleh kerana terlalu lama menunggu mereka pun tertidur. Khalifah Umar yang mendengar keluhan dan aduan si ibu mengenai dirinya tanpa melengahkan masa bergegas ke Baitulmal untuk mendapatkan beberapa karung gandum dan beliau sendiri yang memikul bekalan makanan tadi dan memasaknya untuk si ibu serta anak-anaknya yang kelaparan. Begitulah prihatinnya pemimpin Islam yang bertaqwa. Mendengar rintihan si ibu dan rengekan anak-anak kecil yang kelaparan sahaja sudah cukup membuatkan Khalifah Umar terpanggil untuk menjalankan kewajipannya terhadap umat yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Persoalannya kini, apakah pemimpin kita begitu prihatin dengan keadaan umatnya? Jika ya, bagaimana pula si ibu tadi terpaksa menggadaikan kehormatan dan maruahnya demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan? Dan tergamak sungguh pemimpin kita berpegung teguh pada tali pemerintahan sekular-kapitalisme dan membiarkan seorang wanita hidup berdosa melacurkan dirinya demi mencari sesuap nasi?
Wahai pemimpin umat Islam yang sedang memegang amanah Allah, fahamilah sabda Rasulullah yang berbunyi “Pemimpin (penguasa) adalah pemelihara (rakyatnya) dan dia bertanggungjawab ke atas apa yang dipeliharanya” [HR al-Bukhari].
Rasulullah juga bersabda, “Pemimpin suatu kaum adalah khadam (pelayan) mereka” [HR Abu Nu‘aim]. Banyak lagi hadis-hadis yang senada yang menjelaskan kedudukan pemimpin terhadap orang yang dipimpin (rakyat); mereka adalah sebagai pelayan atau pengurus rakyat. Masihkah ada figura pemimpin yang bertaqwa seperti Khalifah Umar yang begitu menjaga amanah yang diberikan oleh Allah ini?
Saudaraku Muslimah yang dikasihi, sudah saatnya Negara ini diatur oleh syariat Islam. Hanya dengan syariat Islam yang diterapkan oleh negara melalui tegaknya undang-undang islam, masalah yang menimpa umat akan dapat diatasi secara menyeluruh. Ketahuilah tegaknya sebuah Negara yang menerapkan seluruh syariat Islam juga merupakan wujudnya ketaqwaan umat kepada Allah Subhanahu wa Taala . Ketaqwaan umat inilah yang akan menghasilkan keberkahan hidup, sebagaimana yang telah Allah janjikan. “Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu sehingga Kami menyiksa mereka disebabkan perbuatan mereka” [TMQ al-A‘raf (7): 96]. Allahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan