Penyokong

Khamis, 30 Ogos 2007

Nisa' SMALLKINDNESS




Nisa' Melaka telah turut serta dalam program Nisa' Smallkindness anjuran Nisa Malaysia. Dengan motto "Sedikit Sumbangan Atas Keperihatinan Nisa' ", Nisa' Negeri Melaka bersama Nisa' Kawasan telah bergerak menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Antara Nisa' Kawasan yang telah menyempurnakan program ini adalah Tangga Batu, Jasin dan Alor Gajah. Kawasan Bukit katil akan melaksanakan program ini pada hari rakyat Malaysia menyambut Kemerdekaan. Mudah-mudahan sumbangan yang sedikit ini menjadi satu yang bererti buat semua yang terlibat.
ANDA dan NISA', KITA LAKSANAKAN IMPIAN BERSAMA

Rabu, 29 Ogos 2007

Mempelajari Prinsip Hidup Tokoh Islam Terkaya Di Malaysia


L/belakang Syed Mokhtar
Umur - 53 tahun- Pendidikan - SPM- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)- Kekayaan -RM1,425 juta- Ke 7 terkaya di Malaysia- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat- Kereta - Proton Perdana

Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula
Bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .

30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Kepada anak-anak ibu;
" Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan"


(Surah Al-Kahfi: Ayat 46)

Isnin, 27 Ogos 2007

Nisa' Melaka akan mengadakan Jambori Nisa' bermula 1 sept hingga 2 sept 2007. Bertempat di Melaka Tropical Fruit Farm Sg Udang. Bayaran RM 55.00. Sehubungan itu Nisa' Melaka mengalu-alukan penyertaan semua remaja perempuan yang berumur 12 hingga 18 tahun untuk turut serta dalam jambori ini.

Pelbagai program yang menarik telah diaturkan. Antaranya adalah pengisian1 - Manisnya menjadi gadis suci yang akan disampaikan oleh Dr Maimunah, Dr Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Melaka. Pengisian 2 - My Heart akan disampaikan oleh Ustaz Akhwan Affandi dan Pengisian 3 - Milik Siapakah Gadis Ini yang akan disampaikan oleh En Abd Razak Hassan.

Selain itu Peserta akan di uji ketahanan mental fizikal dan mental mereka dalam outdoor games- Berakit dan Berhalangan. Burung Hantu- merupakan satu slot menguji kekuatan jiwa peserta untuk berhadapan dengan situasi yang mencabar. Slot Mai Skodeng akan memaparkan masalah sosial yang melanda remaja pada masa ini serta beberapa pengakuan remaja yang telah insaf.

Nisa' Melaka mengharapkan Program ini akan mendapat sambutan daripada semua remaja dan sokongan daripada semua ibubapa. Mudah-mudahan sokongan daripada anda akan memberikan kekuatan kepada Nisa' Melaka untuk mengaturkan pelbagai program pada masa-masa akan datang sebagai alternatif kepada berbagai program yang melalaikan remaja hari ini.

Akhirnya kepada ANDA yang telah terbaca ruangan ini harap dapat sebarkan kepada mereka yang terdekat dengan ANDA untuk sama-sama menyertai program ini.

Maklumat lanjut Sila hubungi:
016 6324716 Rogayah
013 6804802 Rohani
013 6674588 Mahani

Selasa, 7 Ogos 2007

KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah. Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.
Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa. Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina. “Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab.
Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?
Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.
Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.
Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.
Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.
Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.
Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri.

Wassalam.

Jumaat, 3 Ogos 2007

Blog Nisa' Melaka Beroperasi Mulai Hari Ini

Assalamualaikum

InsyaAllah blog Nisa' Melaka akan beroperasi mulai hari ini. Oleh yang demikian Nisa mengalu-alukan kepada anda semua untuk menghantar sebarang artikel yang boleh dikongsikan bersama Nisa Melaka. Anda boleh juga menghantar gambar-gambar dan aktiviti-aktiviti yang menarik bersama rakan-rakan anda.
Nisa juga amat menghargai sebarang pendapat dan cadangan untuk memajukan lagi Nisa Melaka ini.
Anda boleh emailkan kepada Nisamelaka@gmail.com
Mudah-mudahan niat kita yang ikhlas akan diberkati dan dirahmati Allah hendaknya. Amin.......

Salam Perkenalan

Assalamualaikum.
Dikesempatan ini Nisa’ Melaka mengambil kesempatan untuk memperkenalkan diri kepada mereka yang masih belum berkesempatan untuk mengenali Nisa’ secara dekat.

Nisa’ Melaka menitikberatkan tentang kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Nisa’ berhasrat untuk menjalin hubungan akrab dengan semua pihak bagi merealisasikan usaha untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Misi Nisa’ adalah melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu dan berakhlak mulia.

Nisa’ dibahagikan kepada 4 unit khas yang mempunyai peranan yang tersendiri bagi merancang program-program. Unit-unit tersebut adalah :
i. Unit Kerjaya
ii. Unit Pembangunan Insan
iii. Unit Khidmat & Kaunseling
iv. Unit Nisa’ News Network

Setakat ini Nisa’ Melaka telah menganjurkan banyak aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk remaja khasnya. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah
i. Kursus Remaja Pintar Solehah siri 1 hingga siri 6
ii. Explorace Nisa’
iii. Nisa’ Games
iv. Jambori Nisa’
v. Konsert Nisa’
vi. Rehlah Nisa’
vii. Forum remaja

Nisa’ Melaka juga sedang merancang beberapa aktiviti-aktiviti yang menarik untuk dilaksanakan pada masa-masa akan datang. Sehubungan itu Nisa’ Melaka amat mengalu-alukan penyertaan anda semua untuk bersama menjayakan aktiviti-aktiviti Nisa’ samada sebagai peserta ataupun sebagai pelaksana. Apa yang perlu anda lakukan adalah mendaftarlah sebagai ahli Nisa’.

Akhirnya, muga salam perkenalan yang dihulur Nisa’ akan disambut oleh anda semua. Nisa akan lebih bermakna dan ceria dengan kehadiran ANDA . ANDA dan NISA’ “kita laksanakan IMPIAN BERSAMA” .Wassalam.

Pengarah Nisa' Melaka