Penyokong

Selasa, 18 September 2007

NURIN DALAM KENANGAN


Dalam keadaan rakyat Malaysia masih turut sama bersedih dan sama-sama mencari kemana menghilangnya Nurin Jazlin, tiba-tiba gempar pula dengan berita terbaru, penemuan mayat kanak-kanak perempuan didalam bag pakaian dengan terdapatnya kesan-kesan penderaan. Persoalannya mengapakah terjadinya insiden yang demikian?

Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya peristiwa-peristiwa ini amat merisaukan. Takut ianya akan menimpa diri sendiri. Bagaimanakah untuk bersama kita mengatasinya? Memang sekarang ini amat sukar untuk kita para ibubapa untuk mengawasi 24 jam anak-anak kita. Mereka perlu keluar dari rumah, untuk kesekolah, ke pusat tusyen, ke rumah kawan untuk mengulangkaji pelajaran malahan ke kedai belakang rumah untuk membeli jajan. Permasalahannya apakah keadaan mereka ini selamat? Seperti yang terjadi kepada adik Nurin, meskipun dia hanya pergi ke pasar malam yang berdekatan dengan rumahnya tetapi...hingga sekarang masih belum ditemui.

Cubalah kita letakkan diri kita ditempat kedua orang tua Nurin. Bagaimanakah untuk kita menghadapi situasi yang demikian? Mampukah kita? Untuk itu marilah sama-sama kita mendoakan agar Nurin segera dapat ditemui. Kita tidak mahu nasib Nurin sepertimana kanak-kanak yang dijumpai dalam bag pakaian.

Buat kedua ibubapa Nurin, dikesempatan ini Nisa' Melaka mendoakan agar berbanyak-banyaklah bersabar dan pasrah dengan dugaan Allah. Anda telah dipilih Allah untuk menghadapi dugaan yang berat ini. Namun disebalik semua yang berlaku pasti ada hikmah yang terselindung. InsyaAllah bersama-samalah kita perbanyakan munajat kepada Allah dibulan yang mulia ini agar Allah mengembalikan Nurin kepangkuan keluarganya seperti sediakala.



Tiada ulasan: