Assalamualaikum
Islam bukan sekadar menganggap pendidikan sebagai perkara yang penting, malah Islam telah menjadikan pendidikan sebagai salah satu keperluan asas masyarakat, termasuklah kesihatan dan juga keselamatan. Islam bukan sahaja menjamin agar keperluan pendidikan dapat dipenuhi, tetapi Islam juga mewajibkan setiap individu warganegara untuk menuntut ilmu serta mewajibkan negara untuk memberikan layanan kelas pertama kepada rakyatnya dalam bidang pendidikan.
Nabi SAW bersabda, "Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China, kerana menuntut ilmu itu hukumnya fardhu bagi setiap Muslim." (al-Khathib al-Baghdadi, ar-Rihlah fi Thalab al-Hadits; as-Suyuthi, Jami' al-Masanid wa al-Marasil, Juz I/463). Mengikut penjelasan al-'Allamah al-Manawi, biar betapa jauh pun tempat ilmu itu berada, maka kita diperintahkan untuk mencarinya. Sebab menuntut ilmu itu hukumnya adalah fardhu (al-Manawi, Faidh al-Qadir, Juz I/543). Daripada sini dapatlah disimpulkan bahawa kewajiban menuntut ilmu tidak pernah mengenal batas sempadan, baik sempadan wilayah negara mahupun sempadan waktu, sebagaimana yang dipraktikkan oleh Nabi SAW terhadap para sahabat di mana mereka semua menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat.
Menuntut ilmu merupakan satu kewajiban di mana pendidikan merupakan proses ilmu untuk merubah masyarakat, maka keperluan kepada pendidikan merupakan suatu yang bersifat pasti dan tidak boleh tidak. Oleh kerana itu, negara wajib menjamin serta menyediakan segala perkhidmatan dan prasarana pendidikan untuk seluruh rakyatnya, sebagaimana polisi yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika menjadi ketua negara. Antaranya adalah ketika kaum kafir Quraisy dijadikan sebagai tawanan perang di mana sebagai tebusan untuk membebaskan diri mereka, mereka disuruh untuk mengajar kaum Muslimin membaca dan menuulis (Ibnu Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyah, Juz I/).
Hak Asas Rakyat dan Kewajiban Negara
Ilmu merupakan kunci kepada dunia dan akhirat. Dengan ilmu, dunia boleh dikuasai dan akhirat dapat dikecapi. Generasi terbaik umat Islam terdahulu telah menguasai dunia sekaligus merangkul kebaikan di akhirat melalui penguasaan mereka terhadap ilmu. Ilmu-ilmu ini mereka peroleh melalui proses pendidikan. Menyedari betapa pentingnya keperluan mereka terhadap ilmu, para sahabat terus-menerus menuntut ilmu tanpa mengenal usia. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa para sahabat Rasulullah SAW terus-menerus belajar dan menuntut ilmu meskipun usia mereka sudah senja (al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Juz I/26). Begitu juga dengan para sahabat yang masih muda belia, mereka juga tidak ketinggalan. Ali bin Abi Thalib digelar oleh Nabi sebagai pintu kota ilmu (bab al-Madinah) dan Ibnu Abbas digelar sebagai penafsir Al-Quran (turjuman al-Qur'an), kedua-duanya telah sama-sama belajar sejak usia 7 atau 8 tahun. Saidina Ali RA menyatakan, "Belajar di waktu kecil adalah seperti memahat di atas batu." (al-Kattani, at-Taratib al-Idariyyah, Juz II/162).
Pada zaman Nabi SAW dan para Khulafa' Ar-Rasyidin, masjid Nabawi telah dijadikan sebagai pusat pengajian ilmu. Nabi sentiasa mengadakan halqah-halqah ilmu (pembelajaran dan perbincangan), begitu juga dengan para sahabat. Al-Imam al-Yusi dalam kitabnya al-Qanun menyatakan bahawa model penyampaian ilmu sepertimana yang ada pada zaman sekarang sebenarnya berasal daripada praktik Nabi yang dilakukan terhadap para sahabat dalam majlis-majlis ilmu. Pada waktu itu, masjid menjadi pusat mengajar dan belajar. Umar mengatakan, "Barangkali orang yang masuk masjid ini bolehlah diumpamakan seperti kuda yang berkeliaran. Jika dia melihat terdapat majlis kaumnya dan melihat orang yang dia kenal, maka dia duduk bersama-sama mereka." (al-Kattani, at-Taratib al-Idariyyah, Juz II/152). Sehingga ke hari ini di Masjid Nabawi mahupun di Masjid al-Haram, kita dapat melihat halqah-halqah ilmu ini masih berjalan.
Menyedari tentang kewajiban negara melalui hadis "Imam adalah pemelihara, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat pemeliharaannya" [HR al-Bukhari], maka Daulah Islam wajib menyediakan segala infrastruktur pendidikan kelas pertama untuk seluruh rakyatnya. Mulai daripada prasekolah, menengah, kampus, perpustakaan, makmal, tenaga pengajar sehinggalah kepada pembiayaan biasisiwa pendidikan, semuanya diberikan sepenuhnya secara percuma, tanpa mengenal bangsa dan agama.
Pada zaman Abbasiyah, al-Kuttab (sekolah asas) banyak didirikan oleh Khilafah, di mana bangunannya bersambungan dengan masjid. Di sana juga dibangunkan perpustakaan. Pendidikan tinggi pertama pada zaman itu adalah Bait al-Hikmah yang didirikan oleh Khalifah al-Ma'mun (830 M) di Baghdad. Selain daripada berfungsi sebagai pusat penterjemahan, ia juga digunakan sebagai pusat akademik, perpustakaan umum dan planetarium (Philip K Hitti, History of the Arabs, 514-515). Kemudian, muncul pula Akademi Nidzamiyyah yang dibangunkan antara tahun 1065-1067 M. Akademi ini dijadikan contoh dan rujukan oleh Eropah sebagai model untuk perguruan tinggi mereka (Reuben Levy, A Baghdad Chronicle, Cambridge: 1929, 193).
Di Cordoba, Sepanyol, pada zaman itu telah berkembang Le Mosquet yang mana pada asalnya ia merupakan sebuah gereja. Setelah Islam mengambil alih, ia kemudian dialih fungsi kepada masjid, lengkap dengan madrasah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana pendidikan yang lain. Lembaga pendidikan ini telah melahirkan ramai ulama berkaliber seperti al-Qurthubi, as-Syathibi dan lain-lain. Bukan sekadar bidang tafsir dan usul, akademi pendidikan di era Khilafah juga berjaya melahirkan para pakar dalam pelbagai bidang. Antaranya, bidang kedoktoran seperti Ali at-Thabari, ar-Razi, al-Majusi dan Ibnu Sina, bidang kimia seperti Jabir bin Hayyan, astronomi dan matematik seperti al-Hajjaj bin Mathar, Hunain bin Ishaq, Tsabit bin Qurrah, Ali bin Isa al-Athurlabi, bidang geografi seperti Yaqut al-Hamawi dan al-Khuwarizmi, historiografi seperti Hisyam al-Kalbi, al-Baladzuri dan lain-lain. Nama-nama yang disebutkan ini hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan ilmuan yang terhasil dan kesemuanya merupakan produk daripada akademi pendidikan di era Khilafah.
Percuma dan Bermutu
Fakta sejarah di era keemasan Islam di atas telah membuktikan bahawa kualiti pengeluaran pendidikan yang dihasilkan oleh Khilafah telah mendapat mengiktirafan dari seluruh pelusuk dunia tanpa tolok bandingnya. Apa yang menarik sekali adalah pendidikan kelas pertama ini diberikan dengan percuma sepenuhnya kepada seluruh warganegara Daulah tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama. Pendidikan percuma dan bermutu dalam sistem Khilafah bukanlah fantasi atau khayalan, tetapi sebaliknya ia telah terbukti dalam lipatan sejarah Islam selama lebih daripada 1300 tahun.
Pendidikan percuma dan bermutu boleh diwujudkan oleh Khilafah kerana Khilafah mempunyai sumber pendapatan yang sangat besar. Kekayaan milik negara dan milik umum diuruskan sepenuhnya oleh Daulah dan hasilnya diagihkan kepada rakyat melalui skim biasisiwa pendidikan, kesihatan dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Dengan cara yang sama, Daulah juga mampu untuk membangunkan seluruh infrastruktur pendidikan yang jauh lebih canggih serta mampu memberikan gaji dan insentif yang lebih tinggi kepada para ulama' dan guru atas jasa dan karya mereka. Daripada pendidikan dasar, menengah sehinggalah ke menara gading, yang mana kesemuanya adalah menjadi kewajiban negara, tidak sesen pun bayarannya akan dikutip daripada rakyat. Sebaliknya, kesemua pembiayaan pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh negara. Anak-anak orang kaya dan miskin sama-sama boleh menikmati pendidikan dengan kualiti yang sama secara percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan