Penyokong

Khamis, 8 September 2011

JANGAN SAKITI RASULULLAH SAW

SESIAPA saja akan sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapa disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar dan jelas selain daripada kekufuran Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT dalam al-Quran.

Namun, apabila sampai ke telinga Nabi bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, baginda melarang dan menegur perbuatan itu.

"Jangan sakiti yang Islam dengan menyebut-nyebut yang kafir," sabda baginda.

Jika itulah sikap Nabi dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan bapa baginda sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka?

Adakah Nabi tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi jika pandangan bahawa ibu dan bapa nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama.

Maka kenyataan tersebut merupakan suatu pendustaan terhadap kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, ada dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi itu kufur dan berada dalam neraka. Ia diketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh segelintir pendakwah.

Dalam keadaan begitu tidak mustahil ramai ahli masyarakat yang tidak berilmu akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi itu.

Mahukah kita jika Allah SWT memandang umat Islam di Malaysia sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti kekasih-Nya? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan rasul-Nya?

Sebenarnya tidak ada satu sebab munasabah untuk mengungkit isu status ibu dan bapa Nabi.

Jika isu ini tidak ditimbulkan, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi. Itu sikap yang lebih berasas dan tepat seperti yang akan dihuraikan.

Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini bercanggah dengan hadis, tetapi apakah ia menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan.

Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain tiada keperluan jelas, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka. Untuk memastikan ia benar-benar dihuraikan secara adil ia menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus.

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Apabila ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajib penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Dalam salah satunya, Nabi bersabda bahawa baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya.

Dalam hadis kedua, Nabi diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah baginda sendiri berada dalam neraka.

Walaupun sahih daripada segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini suatu yang biasa berlaku dalam berinteraksi dengan hadis.

Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi kufur dan diazab.

Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219 surah al-Syuara' yang bermaksud: dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud.

Ibnu Abbas seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.

Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis itu juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan rasul-rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israk: 15, al-Anaam: 131, al-Nisaa': 165)

Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad sebelum kebangkitan baginda (Saba': 44, al-Qasas: 46).

Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah ibu dan bapa Nabi sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Tiada ulasan: