Isu hukuman hudud kembali meledak di dada-dada media apabila ia dibincangkan pada Seminar Syari’ah Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Parti PAS sekalipun telah mengambil satu langkah kedepan dengan laungan kepada Negara Kebajikan, namun langkah yang satu lagi kelihatan masih tersekat di belakang dengan isu hudud.
Hukum hudud jelas terus berperanan sebagai salah satu raison d'etre parti itu. Tidak mustahil perkara ini sukar diubah kerana hukum hudud adalah cara mudah untuk membuktikan bahawa mereka adalah sebenarnya pejuang Islam dan suatu antitesis kepada UMNO. Ia juga membawa tanggapan bahawa nilai keIslaman sesuatu gerakan itu bergantung kepada betapa seriusnya ia terhadap perlaksanaan hudud.
Walhal apabila hukum hudud diseret ke gelanggang politik, maka perbincangan yang kritis dan wacana yang segar tentu sekali sukar berlaku. Yang popular itulah yang benar. Apa yang penting adalah merebut pengaruh dan terus berlumba-lumba membuktikan pihak sendiri jauh lebih Islam berbanding yang satu lagi. Maka tidak hairan secara tiba-tiba PAS tidak lagi bersendirian sebagai penyokong hukum hudud.
Penangguhan Hudud
“Negara-negara umat Islam diseru menangguhkan perlaksanaan hukuman kanun keseksaan, hukuman rejam dan hukuman mati.” Itulah seruan Prof Tariq Ramadan pada tahun 2005 yang menggemparkan dan mengundang pelbagai respon. Seruan itu tentu sekali merangkumi hukum-hukum yang dijustifikasikan dengan hujah agama. Dengan itu tidak dapat lari daripada turut menyentuh tentang hukuman hudud. Hujah-hujah beliau amat penting untuk dicermati bagi membantu menyoroti persoalan-persoalan tentang hudud dan hukuman kanun keseksaan yang lain. Serta apakah langkah kedepan yang boleh diambil.
Apabila umat Islam yang telah menjadi sebahagian daripada sebuah realiti baru, mereka diburu persoalan yang fundemental tentang bagaimana untuk melaksanakan hukuman-hukuman yang telah ditetapkan di dalam kanun keseksaan Islam.
Perbincangan tentang hukum hudud banyak dicorakkan dengan pergelutan umat Islam mencari jawapan bagaimana untuk berpegang teguh kepada mesej Islam dalam dunia kontemporari. Serta persoalan bagaimana sebuah masyarakat dapat didefinisikan sebagai Islamik tidak sekadar hanya terhad dengan amalan peribadi sehari-hari.
Keghairahan Terhadap Hudud
Keghairahan dan semangat membara terhadap hudud menurut Prof Tariq Ramadan kadangkala disebabkan oleh keyakinan bahawa dengan melaksanakannya, maka terserlah karakter ‘Islamik’ sesebuah masyarakat. Dalam mengkaji fenomena ini dua bentuk penaakulan lazimnya membentuk dakwaan itu:
Pertama, perlaksanaan hudud menampakkan baik secara perundangan ataupun sosial perkaitannya dengan Islam. Kekerasan perundangan itu seakan mempamerkan rasa ketaatan terhadap perintah al-Qur’an yang menuntut penghormatan tidak berbelah bahagi kepadanya.
Kedua, penentangan yang datang daripada Barat, secara paradoks memcambahkan lagi rasa bahawa yang ditentang Barat itulah jalan ketaatan yang sebenar kepada ajaran Islam. Penentangan bersungguh-sungguh daripada Barat menjadi bukti yang memadai bahawa untuk membentuk karakter Islamik yang tulen, hududlah jawapannya.
Penaakulan yang bersifat terlalu berpegang kepada bentuk luaran tanpa mengambil kira objektif disebaliknya, dan penaakulan bersifat binari (kurang Barat bermakna lebih Islami) amat berbahaya. Hal ini adalah kerana kualiti Islamik itu ditentukan oleh nilai perundangan. bukan kepada apa yang dianjurkan, dipelihara dan dilaksanakan keadilan keatasnya.
Pelbagai Pandangan
Pelbagai ombak pemikiran berlabuh di dunia umat Islam hari ini maka perbezaan pandangan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi dalam perihal hukuman hudud. Terdapat sebahagian kecil umat Islam yang menuntut agar hudud dilaksanakan dengan segera dan tegas. Menjadikan hal tersebut pra-syarat untuk sesebuah masyarakat yang majoriti Muslim diangkat sebagai ‘Islamik’.
Sebilangan yang lain pula berpandangan waima hukum hudud itu boleh ditemui di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, namun keadaan masyarakat haruslah adil dan ‘ideal’ sebelum hukuman itu boleh dilaksanakan. Maka keutamaan harus diberi pada perjuangan menegakkan keadilan sosial, menyelesaikan masalah kemiskinan, peluang pendidikan dan lain-lain. Terdapat pandangan yang juga minoriti bahawa nas-nas berkaitan hudud tidak lagi boleh digunapakai dan tidak sesuai lagi di dalam dunia kontemporari umat Islam.
Semua ulama, baik dari masa dahulu dan kini, daripada semua aliran pemikiran mengakui bahawa hukuman-hukuman kanun keseksaan dan hudud sememangnya ada disebut di dalamnas-nas. Namun titik perbezaan antara ulama-ulama serta aliran-aliran pemikiran ialah pada penafsiran nas-nas tertentu, keadaan yang membolehkan hukuman itu dilaksanakan dan tahap relevennya dengan zaman ini.
Majoriti ulama’ baik dahulu dan sekarang berpandangan hukuman-hukuman itu secara keseluruhannya adalah Islamik tetapi keadaan yang membolehkan hukuman-hukuman itu dilaksanakan adalah hampir mustahil untuk diwujudkan semula. Dengan itu, hukuman tersebut adalah ‘hampir tidak dapat dilaksanakan’. Maka hudud hanya berperanan sebagai ‘pencegahan’ . Tujuannya ialah supaya ia menggetarkan kesedaran orang-orang beriman tentang beratnya kesalahan sesuatu perbuatan yang melayakkan hukuman sedemikian.
Soalan-Soalan Yang Memerlukan Jawapan
Prof Tariq Ramadan menegaskan bahawa beberapa persoalan asas perlu ditujukan kepada badan-badan penguatkuasa Islam di serata dunia berkaitan hudud. Tidak kira mana-mana tradisi baik Sunni mahupun Syi’ah. Tidak kira mana-mana mazhab baik Hanafi, Maliki, Syafi’i, Ja’afari dan lain-lain. Juga tidak kira kecenderungan aliran baik literalis, salafi, reformis dan sebagainya. Perkara ini amat perlu diberi perhatian sebelum boleh terus menganggap perbahasan tentang hudud ini sudah pun selesai.
Apakah nas-nas, termasuklah tahap kesahihannya yang menjadi rujukan untuk hudud? Di manakah garis pembeza untuk penafsiran-penafsiran yang ada dan di titik manakah perbezaan itu berlaku dalam sejarah perundangan Islam dan era kontemporari?
Apakah syarat-syarat yang ditetapkan untuk setiap hukuman menurut sumber itu sendiri, kesepakatan para ulama’ (al-Ijma’) atau secara persendirian oleh ulama’ tertentu melalui sejarah perundangan Islam dan fekah? Di titik manakah perbezaan pandangan terhadap syarat-syarat itu? Apakah ‘keadaan yang meringankan’ yang kadangkala dihuraikan oleh autoriti agama sepanjang sejarah berlalu serta di dalam mazhab-mazhab yang berbeza?
Konteks sosio-politik atau al-Waqi’ sentiasa diberikan perhatian oleh para ulama sebagai salah satu pra-syarat kepada perlaksanaan hudud. Disebabkan itu, penyertaan para intelektual terutama yang mahir dalam sains sosial diperlukan dalam perdebatan tentang isu ini. Oleh itu, dalam konteks hari ini, apakah berkemungkinan untuk melaksanakan hudud? Apakah keadaan yang diperlukan daripada segi sistem politik dan perlaksanaan kebebasan bersuara, kesamarataan di sisi undang-undang, pendidikan awam, penghapusan kemiskinan dan keadilan sosial? Yang manakah dalam bahagian ini menjadi perbezaan pandangan dan atas asas apa perbezaan ini terjadi?
Soalan-soalan ini semua bertujuan menjernihkan lagi isu yang diperdebatkan dengan memberi perhatian kepada keluasan penafsiran terhadap nas-nas dan mengambil kira faktor penentu keadaan kontemporari dan evolusi sosial. Proses muhasabah ini perlu bermula dengan memahami seiringan teks (nusus) dan konteks serta berpegang teguh kepada objekti dan mesej Islam.
Kesedaan ini memerlukan sepenuh kesungguhan , masa dan penyediaan ruang untuk berdialog dan berdebat. Ia tidak sepatutnya sekadar diperingkat nasional tetapi juga internasional, diantara para ulama’, golongan intelektual, dan dikalangan komuniti Islam itu sendiri. Sesungguhnya perkara ini bukan hanya berdasarkan kepada perhubungan dengan teks (nas) yang memerlukan kepakaran “ulama’ an-nusus” (ahli yang mahir dalam urusan teks); tetapi juga perhubungan dengan konteks (waqi’), yang selayaknya mewajibkan keterlibatan golongan “ulama’ al-waqi’” (ahli yang mahir dalam urusan keduniaan).
Diantara Yang Tersurat dan Matlamat
Matlamat atau objektif yang menjustifikasikan sesuatu nas itu (al-Maqasid) mestilah memandu bagaimana nas-nas hukum itu seharusnya dilihat. Dan diantara matlamat-matlamat itu telah ditentukan sejak awal lagi antaranya ialah pemeliharaan nyawa seseorang (an-Nafs) dan menegakkan keadilan (al-‘Adl). Perlaksanaan hudud secara literal dan tanpa mengambil kira konteks hanya akan mebuahkan ketidakadilan.
Khalifah Umar al-Khattab pernah menggantung perlaksanaan hukuman hudud ketika kemarau melanda. Sekalipun dikatakan bahawa hujah-hujah hudud itu jelas di dalamnas-nas. Namun Khalifah Umar al-Khattab faham bahawa perlaksanaan hudud dalam konteks tersebut hanya akan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan.
Keadaan negara umat Islam hari ini jauh lebih kompleks. Penindasan sama ada nyata atau tidak berpunca daripada tadbir urus yang buruk, sistem ekonomi yang rancu, rasuah, nepotisme dan lain-lain adalah sebuah ‘kemarau’ berpanjangan. Oleh itu perlaksanaan hudud yang tidak mahu mempedulikan konteks yang semakin kompleks ini bukanlah tanda ketaatan kepada ajaran Islam. Sebaliknya ia akan menjejaskan matlamat tertinggi ajaran Islam yang begitu mementingkan keadilan.
Langkah Ke Depan
Mengambil semangat Umar al-Khattab, keghairahan memastikan keadilan terpelihara lebih layak diutamakan berbanding melaksanakan hudud dengan mengabaikan konteks. Tumpuan juga sepatutnya pada usaha membentuk masyarakat yang terdidik sehingga mereka dapat melangkaui fatamorgana formalisme, yang hanya mementingkan bentuk dan rupa agama tetapi mengetepikan isi dalaman yang jauh lebih penting.
Menerapkan tafsiran, pendekatan dan hukuman yang bersifat keras dan menekan tidak akan menjadikan masyarakat lebih taat kepada ajaran Islam. Keupayaan untuk menggalakkan keadilan sosial dan pemeliharaan integriti setiap individu baik lelaki atau perempuan, kaya atau miskin sebenarnya yang akan memastikan ketaatan yang selayaknya. Mengikut norma Islam perkara yang utama adalah pemeliharaan hak-hak individu dan masyarakat, dan bukanlah menguruskan hukuman yang sepatutnya dijalankan dengan syarat yang ketat.
Sudah tiba masanya persoalan hudud dijauhkan daripada menjadi instrumen permainan persepsi dan sekadar bahan api yang membakar sentimen. Umat Islam sepatutnya menolak pengabsahan ajaran agama mereka oleh golongan formalis dan menumpukan kepada mesej mendalam Islam yang mengajak kepada kerohanian. Adalah penting untuk umat Islam mengalih perhatian daripada apa yang disekat oleh undang-undang kepada apa yang sepatutnya dipelihara oleh undang-undang itu. Yakni hati nurani, integriti, kebebasan dan hak-hak setiap manusia, serta keadilan yang sentiasa menjadi asas terpenting daripada ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan