Penyokong

Selasa, 9 Ogos 2011

MENDAMBA INAYAH ILAHI

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Jelas kepada setiap individu muslim yang termaktub di dalam Al-Quran untuk beriman dan mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan Allah SWT. Setiap makhluk dan kejadian yang dicipta di dunia ini mempunyai peranan dan fungsi tersendiri. Allah SWT mencipta makhlukNya, menunjukkan keagungan dan kekuasaanNya. Tapi adakah kita sedar bahawa kejadian yg ada dibumi ini adalah menunjukkan kekuasaanNya?

Langit yang membiru di atas sana, dilitupi dengan awan-awan putih yang sentiasa bergerak, pokok-pokok menghijau yang sentiasa menyuburkan tanah,

lautan yang luas, bulan yang sentiasa bersilih ganti dengan matahari menerangi muka bumi ini dan banyak lagi kejadian yang menunjukkan kekuasaanNya. Subahanallah! Maha Suci Allah yang mempunyai zat dan Yang Maha Bijaksana.

Lihatlah kebesaran Allah SWT.

Marilah kita sama-sama tenangkan fikiran dan cuba mendongak ke langit, melihat ke kanan, melihat kekiri, memandang hadapan, memandang ke belakang, menunduk kebawah, dan akhir sekali melihat diri kita. Lihatlah ciptaan Allah yang Agung ini. Jika kita 'malas' untuk melihat alam ini, kita hanya perlu lihat diri kita! Merasai diri kita! Ya! Diri kita. Cubalah pegang telinga kita, mata, mulut , hidung dan semua tubuh badan kita. Betapa kerdilnya kita disisi Allah.

Subahanallah! Cukup sempurna ciptaan Allah ini. Tapi, adakah kita bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang diberikan kepada kita? Adakah kita gunakan anggota badan kita dengan sebaik-baiknya yakni melakukan ibadah kepada Allah dan meninggalkan laranganNya? Tidak cukup sekadar itu, adakah kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada keburukan? Muhasabah diri kita kembali sahabat, supaya kita tidak jauh daripada rahmat Allah.

Apakah kegunaan mata, telinga, mulut, tangan, dan kaki kita sahabat? Sudah tentu kita menjawab, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk berbicara, tangan untuk memegang, dan kaki untuk berjalan. Ya,semua jawapan itu benar. Tapi cuba kita lihat dipenghujung dunia zaman sekarang ini:

Mata

Mata yang sepatutnya digunakan untuk melihat keindahan dan keagungan ciptaan Allah digunakan untuk melihat maksiat contohnya melihat aurat. Wanita menunjukkan aurat dengan berpakaian mencolok mata dan begitu juga sebaliknya. Pornografi (bahan lucah) juga menjadi tontonan dan hiburan dewasa, remaja bahkan kanak-kanak zaman sekarang. Nauzubillahiminzalik.

Telinga

Kurniaan Allah kepada manusia untuk mendengar sesuatu yang baik seperti alunan zikir, bacaan Alquran disia-siakan dengan mendengar umpatan-umpatan, tohmahan-tohmahan dan fitnah-fitnah yang tidak sepatutnya kita dengar. Alunan muzik keras dan melalaikan yang menjadi pilihan zaman sekarang.

Mulut

Mulut merupakan anggota badan yang membolehkan kita berkomunikasi. Kesempurnaan ciptaan Allah ini adalah untuk kita lantunkan alunan zikir, tahmid, tasbih, tahlil, serta membasahkan lidah kita dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran. Mulut juga sebagai anggota tubuh badan untuk makan dan minum rezeki yang halal. Namun segelintir kita menyalahgunakan dengan mengucapkan kata-kata nista, mengumpat, mencaci, memfitnah, meminum minuman keras, dan bercakap benda yang tidak bermanfaat.

Tangan

Maha suci Allah menjadikan tangan untuk melengkapi tubuh badan manusia yang berfungsi untuk memegang dan menjalankan aktiviti yang menjadi ibadah kita kepada Allah. Namun kejadian yang indah ini digunakan untuk memegang minuman keras, memukul orang tidak berdosa, membunuh bayi yang tidak berdosa seperti anak luar nikah, mencuri, memberi rasuah dan melakukan kemaksiatan kepada Allah. Astaghfirulahal azim.

Kaki

Tanpa kaki kita sukar untuk melakukan aktiviti harian, dan tanpa kaki juga kita tidak mampu bergerak sesuka hati. Anugerah Allah ini adalah untuk kesenangan manusia melakukan ibadah kepadaNya namun telah disalahgunakan dengan melangkah ke lembah hina seperti melangkah ke kelab malam, tempat pelacuran, tempat judi, bar dan macam-macam lagi.

Ya Allah, adakah kita sedar apa yang kita lakukan dengan anggota tubuh badan kita? Adakah ini caranya kita mengucap syukur kepada Allah dengan kurniaan yang diberikan kepada kita? Nauzubillahimin zalik. Semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan sentiasa dibawah rahmatNya.

Namun begitu sahabat, adakah kita tahu apakah yang mengendalikan anggota tubuh badan kita?

Hati merupakan satu organ yang mengendalikan dan mengawal segala perbuatan kita. Mengapa ana berkata begitu?

Dalam sebuah hadis Riwayat Bukhari dan Muslim:

"Tidakkah dalam setiap tubuh itu ada seketul daging. Sekiranya baik,baiklah seluruh tubuh itu. Dan sekiranya tidak baik tidak baiklah seluruh tubuh itu. Dan itu adalah hati."

Hati mengendalikan setiap anggota tubuh badan yang lain, jika baik keadaan hati itu, maka baiklah kegunaan anggota tubuh badan kita. Jika tidak baik keadaan hati maka anggota badan digunakan kearah kemaksiatan. Jadi sahabat, kita perlu sentiasa menjaga hati kita supaya kita sentiasa menjaga kesucian hati kita. Hati yang tenang adalah daripada hati yang tulus ikhlas untuk beribadah kepada Allah. Hatilah juga yang menggerakkan fikiran untuk menggunakan anggota tubuh badan kita dengan baik.

Jadi bagaimana untuk kita jaga hati kita ini sahabat? Hendaklah kita sentiasa bertaubat kepada Allah setiap kali kita melakukan dosa supaya hati kita sentiasa disinari Nuur dari Allah. Untuk mempertahankan hati kita supaya tidak dirobek syaitan laknatullah maka kita harus sentiasa berzikir kepada Allah dan membasahkan lidah dengan bacaan Al-Quran. Dengan itu, kita akan mendapat ketenangan daripada Allah taala.

Pahala bagi orang-orang yang bersabar menurut Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Sabar itu ada tiga:

1. Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya yakni mentakdirnya atau menyuruh menulis di Luh Mahfuz 300 darjat, yakni darjat yang tertinggi di syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi.

2. Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir.

3. Barang siapa bersabar dari maksiat, yakni meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi yang paling tinggi."

Dalam Alquran yang suci Allah telah berfirman yang bermaksud:

Katakanlah:"Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesunnguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Az-Zumar ayat 53)

Kita sebagai hambaNya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan, jadi bertaubatlah kepada Allah Yang Maha Mendengar taubat. Semoga sinar hidayah menerangi kehidupan kita dan menjadi hala tuju kita untuk ke syurga Allah yang kita idam-idamkan, InsyaAllah.

Ya Allah,
Ku menadah kedua belah tanganku untuk memohon kepadaMu, Ya Rabb!
Aku mohon Ya Allah supaya engkau memelihara hati-hati kami dan seluruh jasad kami daripada melakukan maksiat kepadaMu Ya Allah,
Kami adalah hambaMu yang kerdil lagi hina ya Allah,
Kami bertaubat kepadaMu dengan apa yang telah kami lakukan kepadaMu selama ini Ya Allah,
Dosa-dosa yang menggunung tinggi Ya Allah,
Engkaulah Yang Maha Pengampun,
Ampunilah dosa-dosa kami,
Kami mohon Ya Allah supaya Engkau pelihara kami daripada hasutan syaitan yang direjam,
Terimalah taubat kami ini Ya Allah.

Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah, InsyaAllah

Tiada ulasan: