Penyokong

Isnin, 14 Jun 2010

PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Taif

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Tiada ulasan: