Adakah kita seringkali terdetik di kalbu, perasaan ingin disenangi oleh Allah?
Sesungguhnya sifat manusia mudah alpa dan leka, hanya menginginkan yang zahir dan duniawi yang terungkap, perasaan ingin dikasihi manusia, sedangkan jika kemahuan untuk mendekat kepada Ilahi itu melangit, memungkinkan lahirnya hablun minannas itu lebih kukuh dan erat, kerana lahirnya keredhaan Allah pada diri kita.
Mengungkap sejarah di zaman Nabi saw, pabila mana seorang sahabat yang bernama Zaid al-Khair bertanyakan kepada Rasulullah saw, akan peri gusar hatinya bila mengenangkan perasaan samada dia disenangi oleh tuhan semesta alam. Perasaan tersebut yang mengganggu hati, diungkapkan kepada Nabi dengan harapan akan reda keresahan yang melanda dengan kata-kata Nabi yang menenteramkan jiwa.
Sebetulnya, tidak pernah Rasulullah saw menggariskan kepada para sahabat akan sebarang tanda, orang-orang yang disenangi dan dikehendaki oleh Allah swt. Lalu Baginda bertanya, “ Bagaimana keadaan kamu pada pagi hari ini wahai Zaid?”
Jawapan Zaid inilah yang patut kita hadapi dan cuba meneladaninya dengan wajar. Pertama kata Zaid akan perasaan senangnya dia pada kebaikan yang berlaku. Kedua, dia berasa senang pada orang-orang yang melakukan kebaikan. Ketiga, dia sendiri berasa senang bilamana dirinya sendiri berbuat kebaikan dan keempat, dia berasa susah hati tatkala kesempatan untuk berbuat kebaikan itu hilang. Rasulullah saw menyambut kata-kata Zaid ini dengan menyatakan bahawa inilah tanda-tanda orang yang dikehendaki dan disenangi oleh Allah swt dengan kehendak yang baik.
Ekoran daripada itu, nama Zaid al-Khair yang membawa maksud al-Khair iaitu kuda telah Rasulullah s.a.w tukar kepada Zaidun al-Khair yang membawa maksud Zaid yang baik. Perasaan yang hakiki pabila merasa diri ini dekat kepada Allah s.w.t, menjadi hamba-Nya yang kukuh iman dan teguh sifat ihsan. Merasa sepi pabila diri tidak sujud syukur di sepertiga malam, gembira menabur bakti kepada segenap ruang kebaikan dan menginsafi akan dosa-dosa yang acapkali mengikat hati ke arah pintu kebatilan.
Dalam surah ar-Furqan ayat 63 hingga 76, telah digariskan satu check–list oleh Allah s.w.t akan sifat-sifat manusia yang layak menjadi hamba-Nya. Layakkah kita, sedari kecil dilahirkan dalam nikmat Islam dan kini telah meniti usia, mengaku hamba di sisi-Nya? Jika tidak, kita hamba siapa?
Suatu ketika, pabila mana Rasullulah s.a.w melintasi sekumpulan sahabat yang duduk sesama mereka lalu Rasullulah s.a.w bertanya, “ Mengapa kamu semua duduk di sini?” Lalu seorang sahabat menjawab, “ Kami duduk berzikir kerana nikmat Islam yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kami.” “ Adakah kamu hanya duduk-duduk berzikir sahaja, tiada hal yang lain?” tanya Rasulullah kepada mereka lagi. Jawapan yang diterima mengiyakan soalan tersebut. Lalu Rasullullah saw menerangkan kepada mereka bahawasanya tidaklah Baginda mencurigai perbuatan sekalian sahabat tersebut melainkan Allah s.w.t membangga-banggakan mereka di hadapan para malaikat.
Alangkah berbahagianya mereka kerana ibadat zikrullah itu diterima Allah dan disampaikan pujian melalui lidah Rasullullah s.a.w sendiri ketika masih hidup di dunia. Itulah antara faedah zikir kepada Allah swt.
Tidakkah kita ingin Allah berasa senang kepada kita, malah lebih daripada itu sebenarnya kita inginkan kerana kecintaan Allah kepada hamba-hambaNya adalah yang teragung, manakan terbanding dengan cinta manusia yang bersifat sementara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan