Suatu pagi di aspuri MMP.... Seperti biasa pada hari minggu, bangun awal pagi, mengemas katil dan melaksanakan 'operasi' iaitu beramai-ramai mengemas dan membersihkan dorm. Selesai rutin tersebut barulah kami menyiapkan diri dan turun ke kantin untuk bersarapan. Kalau orang lain fobia tinggal di asrama tapi aku lain pula.Rasa seronok dan sentiasa teruja dengan setiap aktiviti asrama. Dorm yang aku duduki ini adalah dorm yang paling besar. 'Bilik Dua'. Penghuninya bukan 10 orang tetapi 60 orang! Katil disusun berbaris dalam 2 'line'.Bercadar putih. Penghuninya adalah pelajar tingkatan satu dan dua. Oleh kerana penghuninya terlalu ramai adalah agak mustahil untuk berkenalan mesra dengan semua orang kecuali dengan 'jiran-jiran' yang berdekatan katil kita sahaja ataupun kawan yang memang rapat dengan kita di sekolah.Suka juga untuk disebutkan di sini walaupun besar dan ramai penghuni Bilik 2 sentiasa mengungguli tempat teratas dalam pertandingan bilik terbersih! Jadi setelah selesai segala rutin tadi aku pun turun ke bawah membawa buku dan alat tulis, cadangnya selepas sarapan mahu ke kelas atau ke surau untuk siapkan kerja-kerja sekolah dan ulangkaji.Aku ini rajin beb! Dari tangga aku lihat seorang pakcik berserban putih, berbaju melayu lusuh dan berkain pelikat sedang tertinjau-tinjau mencari seseorang. Mungkin kerana pagi sudah terlalu meninggi, tidak ramai yang berada di perkarangan asrama A. Teragak-agak begitu... aku menegur. " Cari sapo pokcik?" " Ho... ambo cari Nik Amalina, tingkate satu... mek kenal ko? ""Ohhh... kenal.kenal sebilik denga sayo... nanti nok gi panggil... pokcik ni sapo?" "Ayoh dio, ma dio kato dio tak segar, suruh mari ambik... tu ye ambo mari tuh..." Aku bergegas naik ke bilik. Terus kucari Amalina. Mujur Amalina berada dihadapan lockernya. Sedang ralit menghitung duit dalam tabungannya. "Dik Na, ayoh tunggu bbawah... " Bundar matanya melihat aku. Aku angguk-anggukkan kepala beberapa kali. Tanpa banyak soal Amalina terus mencapai tudung dan bergegas ke bawah untuk menemui ayahnya. Aku pula langsung ke kantin untuk mengisi perut. Rasanya ini bukan sarapan pagi lagi... Ketika aku melintasi surau asrama , aku lihat Amalina dan ayahnya tadi berjalan beriringan menuju kekereta. Kereta merc benz yang kelihatannya sudah agak uzur. Aku suka pakcik ini. Walau pertama kali bersua muka. Walau aku tidak mengenali dia. Tidak kusangka lelaki tua sederhana ini ayah kepada Nik Adilah, Nik Amani dan Nik Amalina. Tidak kusangka jua... Lelaki tua, sederhana berkain pelikat berbaju lusuh itu... rupanya lelaki inilah, yang memayungi setiap jiwa pimpinannya dengan setulus doa, secekal harap, dan semurni-murni penyerahan pada yang Maha Esa. Lelaki tua ini... yang mentadbir dunianya dengan matahati dan neraca iman, dunia ditangannya, akhirat dihatinya, moga Tuhan memelihara dirimu dan seluruh umat ini dengan siraman rahmah dan kasih sayang.... Dialah Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Terima kasih Tok Guru, Terima kasih Tuhan.
catatan umi, ex student mmp, 1988-1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan