Penyokong

Jumaat, 5 Oktober 2007

Bertempat di Bayview Hotel Melaka, Nisa’ Negeri Melaka telah berjaya mengadakan program Nisa’ Smallkindness II (bersama anak –anak yatim) pada 29 September lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan ini bertujuan untuk memupuk rasa bertanggungjawab dan sikap perihatin masyarakat terhadap anak-anak yatim yang kurang berkemampuan dalam menyambut sinar syawal yang bakal tiba.

Kehadiran 50 anak-anak yatim bersama penjaga mereka dari seluruh negeri melaka telah diraikan dengan memberikan sedikit sumbangan oleh Nisa’ Melaka berbentuk barangan hamper dan duit raya. Antara agenda program adalah tayangan slaid Nisa’, deklamasi sajak oleh adik Nurhidayah Mohd Din, Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Dr Azmi Mohd Shah dan penyampaian Puisi oleh Puan Kintan Man. Program ini telah dirasmikan oleh Penaung Nisa’ Negeri Melaka, Dr Khatijah Jumangat.

Suasana yang pada awalnya meriah bertukar pilu sewaktu Dr Azmi menyampaikan Tazkirah Ramadhan yang telah menyentuh keadaan anak-anak yatim yang telah kehilangan orang tua mereka tanpa sempat untuk mereka kecapi kasih–sayang, belaian dan perhatian yang mereka perlukan. Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang masih mempunyai ayah dan ibu, maka hargailah kedua orang tua sementara mereka masih bernyawa. Penyampaian puisi oleh Puan Kintan disertai oleh anak-anak yatim yang berada di atas pentas telah menyentuh hati penonton sehingga ramai yang menitiskan airmata. Sementelah lagi Puan Kintan juga merupakan ibu tunggal yang memelihara anak-anak yatim.

Menurut kata Puan Rogayah Harun, Timbalan Pengarah Program, “Program ini dapat dilaksanakan atas sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang telah bermurah hati menderma. Meskipun sumbangan yang diberikan oleh Nisa’ Melaka tidaklah sebesar mana, namun diharapkan ianya memberikan erti buat semua. InsyaAllah sekiranya masyarakat terus memberikan sokongan kepada Nisa’, Nisa akan terus mengadakan program-program seumpama ini dimasa-masa akan datang.” Ketika ditanya tentang kejayaan program ini.

Sumbangan–sumbangan itu telah disampaikan oleh Pn Mahani Osman, Pengarah Nisa’ Melaka, Dr Khatijah Jumangat, Puan Hajjah Kintan Man dan Dr Azmi Mohd Shah kepada anak-anak yatim tersebut.




Tiada ulasan: