Penyokong

Memaparkan catatan dengan label SIRAH SRIKANDI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SIRAH SRIKANDI. Papar semua catatan

Khamis, 2 Februari 2012

MUHAMMAD UTUSAN DAN CIPTAAN ALLAH YANG MAHA AGUNG


Muhammad (SAW) Ibn Abdullah adalah Rasul dan Nabi Pilihan. Rasul Terakhir kepada manusia ini merupakan ciptaan Allah yang Maha Agung.Kehebatan Muhammad (SAW) terserlah dalam semua semua aspek, suatu yang tidak perlu dipertikaikan. Baginda dipilih di kalangan manusia kerana baginda adalah Nabi dari segi teori dan praktikal kehidupan manusia dalam segenap kehidupan. Adab akhlaknya dibentuk dan diprogramkan sempurna sebagai makhluk oleh Allah Taala dari kecil sehinggalah ke tempoh kewafatannya.
 
Baginda adalah nabi yang berkahwin, makan, minum dan tinggal di kediamannya. Namun kadar yang dinikmati oleh Rasulullah SAW adalah kadar paling sederhana dan berhemat yang menunjukkan gaya hidup dan kondisi pemimpin yang dihormati bukan kerana kemewahannya untuk diri tetapi banyak disumbangkan untuk keperluan dan kepentingan ummat, sekaligus keluarga dan para sahabatnya.
 
Baginda memulakan hidup berkelamin di usia 25 tahun dan mengamalkan monogami selama 27 tahun bersama wanita yang paling mulia yang dicintainya sepenuh hati iaitulah Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah r.a.  Setelah kewafatan Khadijah, dan baginda saw berhijrah, baginda beristeri dengan beberapa orang wanita yang kemudiannya digelar Ummahatul Mukminin.

Terpanggil dengan kontroversi terbaru oleh OWC tentang penonjolan Rasulullah saw sebagai “Ikon Seks Suci”,  saya merasa amat prihatin untuk mengulas dengan pendidikan berumahtangga yang disaran oleh Rasulullah saw. Mengapa ada yang tergamak untuk meletak  slogan dan label sedemikian? Adakah dengan tidak memberikan anugerah ini berkurangnya kehebatan Rasulullah saw dari aspek perkahwinan? Apa justifikasi mereka untuk berkata demikian?

Banyak sudut yang boleh diulas dengan Qudwah (Contoh) Rasulullah saw dlm memimpin isteri-isteri dan anak menantunya. Pelbagai etika dan adab yang perlu diikuti oleh orang yang telah ditakdirkan sampai jodoh dan ada yang menjalani kehidupan berkeluarga sebagai anak dan adik beradik.

Kita pada hari ini walaupun hanya memiliki dan melayan seorang isteripun GAGAL untuk solat sunat dan puasa sunat. Puasa wajib pun sekadar cukup tinggal makan minum sahaja. Kita sering alpa dan tidak ada kekuatan untuk bangun bertahajjud dan qiyamullail. Kita jarang bahkan mungkin tidak pernah berkhulwah selama sebulan. Kita tidak rajin untuk bertaddarus dan beriktikaf 10 akhir Ramadhan.

Kita culas untuk solat berjamaah apatah lagi memimpin solat setiap waktu dan selalu tidak upaya lekat wudhu'. Kita tidak pernah dapat aduan ada suami hari ini yang solat sehingga bengkak kakinya dan yang bersedekah sehingga dia dan keluarganya tidak punya apa untuk dimakan. Kita juga makan daging dan lauk sehingga kini sering sakit dengan pelbagai macam penyakit kerana terlebih makan!

Nah, Nabi saw berpesan bahawa antara ciri solehahnya isteri itu bilamana dia amanah dalam merahsiakan hal ehwal dalaman dan tempat tidur suaminya. Soal hubungan kelamin tidak pernah menjadi tajuk awam dalam perbicaraan Rasulullah saw kerana baginda memuliakan perkahwinan dan soal intimasi suami isteri adalah hak peribadi yang dilindungi dan difahami.

Majoriti hadith berkait dengan soal kekeluargaan menyentuh santunnya Rasulullah saw melayan anak isterinya dalam semua tahap dan keadaan. Sabarnya ketika meleraikan konflik isteri kesayangan, Aisyah r.a yang difitnah jijik. Psikologi dan diplomasi baginda ketika mendamaikan isteri-isteri akibat cemburu merebut kasih sayangnya.
 
Hebatnya isteri kerana bukan setakat boleh berkorban makan tapi berkorban giliran. Giliran bersama isteri juga banyak dihabiskan dengan mereka turut serta dalam medan peperangan dan dakwah.

Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.,Maimunah r.a, Hafsah r.a, Juwairiyyah r.a,Sofiyyah r.a dan Ummu Salamah semuanya menjurus ke arah tegarnya komitmen Rasulullah saw terhadap ibadat dalam kehidupan malamnya. Tidak berbuat apapun baginda saw melainkan ianya atas tujuan ibadat hatta untuk bersama isterinya. 

Baginda saw berjaya mendidik isteri-isterinya yang baru memeluk Islam untuk turut berqiyamullail dan beriktikaf bersamanya. Ada baiknya untuk kita ketahui bahawa bila beramal seumpama itu di waktu malam ianya mesti dalam keadaan berwudhu' dan tak pernah alpa dan asyik dengan aktiviti badaniah dan seksual yang boleh memenatkan dan merencatkan amalan qiyamullail akibat keletihan.

Makanan ruji dan sajian  Rasulullah saw adalah amat ringkas dan mudah. Baginda tidak mengambil vitamin dan pelbagai “pil penguat” kerana Islam mengajar hubungan suami isteri di bilik tidur adalah sebahagian proses untuk mendapatkan zuriat yang soleh bukan atas landasan melampiaskan nafsu yang sentiasa berkobar. Klimaks kemesraan dan kemanjaan bertempat dan sahih serta terhormat antara lelaki dan wanita menyebabkan semua sahabat berlumba untuk berkahwin.

Banyak masa siangnya dihabiskan di luar rumah sebagai “hablun minannas” dan masa malamnya digunakan untuk mengabdi diri dengan meningkatkan hubungan “hablun minaLlah”.
 
Jadi, adalah kurang molek dan mencemar fokus kalau ketaatan isteri dan kecintaan suami itu ditumpukan pada aspek seksual yang lebih bersifat fizikal dan sementara.
Mengatur dan meletakkan had dan aras dalam hubungan kelamin adalah wajar dan perlu dalam Islam kerana andai tidak dijelaskan manusia mungkin meniru gaya dan kekerapan binatang dan haiwan dalam melakukan hubungan jenis. Seks adalah perkara fitrah tetapi ia harus dipupuk supaya ia menjadi hubungan suci lagi murni bukan keperluan hakiki yang wajib dinikmati setiap ketika atas alasan kerana telah bernikah.

Suami isteri yang tua lagi uzur, mereka masih mempunyai cukup ruang untuk meluahkan kasih sayang dengan sifat mawaddah, ihsan dan rahmah sehingga wujud sakinah dalam rumahtangga dan kehidupan. Organ seks bukanlah kemuncak alat dalam kehidupan yang perlu diagungkan dan manusia yang tidak memilikinya serta menikmatinya dianggap kurang dan tidak sempurna!

Manusia itu sempurna dengan minda, badan, emosi dan spiritual yang sihat dan cerdas. Nabi Isa a.s dan ibunya maryam tidak pernah berkahwin tetapi terbukti mereka masing-masing adalah Rasul Ulul Azmi dan antara 4 perempuan yang paling mulia dalam Islam. Mereka tetap Idola kita sebagai umat Islam. Imam Nawawi juga tidak sempat berkahwin tetapi hadith arbain susunannya tetap unggul dan bermakna untuk kelangsungan ummah.

Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw dan menjalani dan mengurus isteri dan rumahtangga adalah cabaran besar dan rutin yang menuntut ilmu dan hikmah sepanjang masa bukan hanya seks. Aktiviti seks mungkin memakan tempoh 30 minit dalam seminggu atau dalam tempoh 3 bulan jadi adalah tidak munasabah kalau ukuran kehebatan Islam itu diukur dan dilabel dengan fokus itu dan ke situ! Seolah kita juga kini terjerumus dan menjerumuskan masyarakat ke dalam minda “hanya kepuasan seks” segala-galanya.

24 jam bersama suami dan 30 tahun berumahtangga memerlukan kesyumulan contoh dari Rasulullah saw melayari kehidupan. Bukan terhenti atau terikat dengan aktiviti seksual semata. Rasulullah saw diangkat menjadi nabi ketika usianya menjangkau 40 tahun dan mempunyai had masa 23 tahun untuk menyampaikan dan menyempurnakan keseluruhan aspek sosial,politik dan ekonomi Islam yang diwariskan kepada ummat sehingga qiamat.

Piawaian lelaki dan manusia terbaik di kalangan semua ummat adalah lelaki yang paling baik layanan dan penghormatan kepada isteri dan keluarganya. Islam bukan agama hipokrit dan bermotif dengan menyayangi isteri dan anak  kerana pulangan khidmat dan balasan seksual dan fizikal tetapi kerana itu adalah hak dan hudud yang ditetapkan oleh Allah swt.
 
Rasulullah saw pengangkat martabat wanita dan lelaki serta anak-anak dengan setinggi-tingginya dengan penganugerahan hak layanan, penghormatan nasab, harta,nafkah dan pusaka dengan sepatah kata "aku terima nikahnya".

Saya yakin dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang menyanjung dan ingin mengamalkan sunnah kehidupan berkeluarga Rasulullah saw yang syumul dan lebih banyak dibuat oleh baginda di luar bilik tidur. 

Maka, marilah kita  berselawat ke  atas  junjungan  besar  Rasulullah  saw   kerana kemuliaannya , jasa pengorbanannya dan sopannya menghargai wanita dan keluarga sebagai manusia yang punya hak dan kemahuan bukan objek seks sebagaimana kefahaman barat mengenai wanita. Janganlah kita terperangkap dan terjerat oleh kehendak dan fahaman mereka mengenai rumahtangga dan perkahwinan.

Berkahwin itu adalah proses yang lebih mulia dan jangka panjang untuk ummah sifatnya dan antara dua keluarga dan masyarakat bukan berobjektifkan ketaatan fizikal individu dan penyerahan tubuh semata mata.
 
Percayalah, apapun aktiviti kita semuanya adalah untuk beribadah dan menggambarkan kehambaan kita kepada yang Maha Pencipta.
 
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajmain.


MUMTAZ MD. NAWI
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengamal Undang-Undang Sivil dan Syarie

Rabu, 30 November 2011

MENELUSURI PERANAN NISA' DALAM HIJRAH

Assalamualaikum

1 Muharram datang lagi. Selesai sahaja mentari merah Zulhijjah 1432 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1433 Hijrah menjelma. Ketibaan bulan yang mulia ini akan diraikan dengan sambutan Maal Hijrah bersempena tahun baru kalender Islam dan bagi mengenang satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam, iaitu penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dari Mekah ke Madinah.

Peristiwa hijrah merupakan titik tolak ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kisah hijrah juga mengingatkan kita tentang pengorbanan umat Islam terdahulu dalam proses mengembangkan Islam di Mekah. Kejayaan Rasulullah dan para sahabat sehingga tertubuhnya negara Islam pertama iaitu Madinah bukanlah suatu perkara yang mudah. Selama 13 tahun Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berdakwah di Mekah, namun usaha dakwah Rasulullah dan para sahabat ditentang hebat oleh Kafir Quraisy Mekah.

Kafir Quraisy Mekah telah menggunakan pelbagai usaha seperti melakukan penganiayaan dan penyeksaan, menimbulkan pelbagai propaganda di dalam dan di luar kota Mekah, dan melakukan pemboikotan terhadap umat Islam. Semua ini dilakukan dengan harapan Rasulullah akan menghentikan dakwah baginda, namun semua usaha mereka tidak berhasil. Rasulullah dan umat Islam terus menyampaikan risalah Islam walaupun dalam serba kekurangan.

Setelah lebih 10 tahun menyampaikan risalah Islam di Mekah, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menyedari bahawa meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil kerana masyarakat Quraisy Mekah sering berfikiran dangkal, berhati batu dan cenderung kepada kesesatan. Oleh itu, baginda mula merancang untuk menyebarluaskan dakwah kepada masyarakat lain. Lalu baginda mula memikirkan tentang kemungkinan untuk hijrah dari Mekah.

Penghijrahan kaum Muslim ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan dakwah dalam menyampaikan risalah Islam memandangkan penduduk Madinah berpotensi dan telah bersedia menerima cahaya Islam. Dengan bimbingan wahyu, berlakulah penghijrahan Rasulullah ke Madinah.

Menelusuri Peranan Asma’ dalam Hijrah
Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan umat Islam ke Madinah telah dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengaburi mata Kafir Quraisy Mekah. Dalam proses penghijrahan Rasulullah dan Abu Bakar ke Mekah, diriwayatkan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari. Ketika orang-orang Quraisy kehilangan jejak Rasulullah, mereka menawarkan imbuhan yang lumayan kepada sesiapa yang mengetahui tempat persembunyian Rasulullah dengan menawarkan seratus ekor unta. Dalam masa yang sama Kafir Quraisy Mekah terus menjejaki dan mencari tempat persembunyian baginda. Selama tiga hari mereka berusaha mencari jejak Rasulullah, tetapi gagal. Akhirnya, orang Kafir Quraisy berhenti daripada terus mencari Rasulullah. Setelah itu, Rasulullah dan Abu Bakar telah meneruskan perjalanan mereka ke Madinah dengan penuh berjaga-jaga.

Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma' Abu Bakar terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahandanya dan baginda Rasulullah di saat nyawa baginda diancam oleh kafir Quraisy. Dalam usaha menghantar makanan, Asma' memastikan bahawa pemergiannya menghantar makanan kepada Rasulullah dan ayahandanya tidak dapat di kesan oleh pihak Kafir Quraisy Mekah. Asma' mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya. Asma' telah berjaya membawa makanan untuk Hijrah Rasulullah dan ayahandanya, namun beliau terlupa membawa tali untuk mengikat makanan tersebut. Dengan kecerdasan akalnya, beliau telah memotong dua tali yang digunakan untuk mengikat pinggangnya (wanita yang memiliki dua tali pinggang).

Asma' tidak sekadar menjadi penghantar makanan, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana pihak musuh terhadap kaum muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Asma' dalam memberi sumbangan kepada Islam.

Setelah Rasulullah dan Abu Bakar berangkat ke Madinah, Asma' terus pulang ke rumah. Setibanya di rumah, beliau telah didatangi Abu Jahal dan Kafir Quraisy yang hendak bertanyakan kedudukan Abu Bakar ketika itu. Dengan tenang Asma' menjawab, “Demi Allah aku tidak tahu ke mana ayahku pergi!”. Abu Jahal berasa tidak puas hati dan sangat marah. Dia menampar pipi Asma' sehingga subang yang dipakai ditelinganya tercabut. Setelah itu, Abu Jahal dan Kafir Quraisy beredar dari rumahnya.

Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq, sesungguhnya Asma' tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah Asma' mendengar syair yang didendangkan oleh seorang penyair. Daripada bait-bait syair tersebut, barulah Asma' tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah.

Begitu hebat dan cekalnya hati Saidatina Asma' binti Abu Bakar dalam kita menelusuri peranannya dalam peristiwa hijrah. Asma' telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai muslimah yang unggul, bagaimana dengan muslimah masa kini? Sudahkah muslimah hari ini melaksanakannya?


Di Mana Peranan Muslimah?
Jika Asma' sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan Islam, adakah kita juga sanggup? Adakah sejarah pengorbanan Asma' ini hanya sekadar lintasan sejarah? Apakah bezanya kita dengan Asma' sehingga kebanyakan daripada kita sering memberi alasan untuk berkorban demi Islam? Asma' adalah wanita biasa, sama seperti kita. Yang membezakan antara kita dan Asma' adalah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Adakah mustahil untuk kita memiliki iman sehebat Asma' ? Tidak wahai muslimah, semua itu tidak mustahil! Setiap daripada kita berpeluang beriman kepada Allah sehebat Asma' dan tidak mustahil untuk menjadi lebih hebat daripada Asma'.

“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah.” [TMQ al-Baqarah (2):207]

Wahai Muslimah,
Kalian mempunyai peranan besar dalam dunia Islam. Kalian merupakan Ummun wa rabbatul bait (pengatur urusan rumahtangga). Di tangan kalianlah, akan lahir cendiakawan dan mujahid pembela Islam. Di bahu kalianlah terletak satu amanah untuk mempersiapkan anak-anak menjadi pejuang Islam yang akan membawa perubahan dalam masyarakat. Oleh itu, seorang muslimah hendaklah menyiapkan dirinya dengan persiapan rapi berkaitan Islam. Seorang muslimah mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam. Setiap muslimah wajib meyakini bahawa Islam adalah rahmatan lil 'alamin. Seorang muslimah perlu memahami bahawa beliau merupakan asas kepada tiang negara kerana dari rahimnyalah akan lahir para mujahid pembela agama. Dengan santun bicaranya tatkala mengasuh anak-anaknyalah akan tertancapnya semangat jihad dalam generasi seterusnya.

Keperibadian anak terbentuk daripada pembentukan pemikiran oleh ibunya sendiri. Jika anak ditanam dengan asas tsaqafah (culture) dan aqidah yang benar iaitu aqidah Islam, InsyaAllah generasi yang terhasil adalah generasi yang memahami kehidupan dan perjuangan seorang Islam. Oleh sebab itu, besarnya tanggungjawab seorang ibu kerana di bahunya terletak satu amanah untuk melahirkan generasi yang cemerlang pada kaca mata Islam. Namun, adakah para ibu hari ini benar-benar telah melaksanakan amanah ini? Adakah para Muslimah hari ini telah menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu? Di sinilah seorang Muslimah memulakan langkah. Setiap muslimah perlu menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang cukup dan mantap serta memahami kewajipan mereka sebagai seorang muslimah.

Wahai muslimah,
Kalian juga bukan sekadar Ummun wa rabbatul bait. Kalian juga memiliki peranan yang sama dengan lelaki dalam usaha menegakkan Islam. Kalian juga tertaklif dengan kewajipan berpolitik, sama seperti kaum Adam. Allah Subhanahu Wa Taala memerintahkan lelaki dan wanita melibatkan diri dalam parti politik selaras dengan firmanNya:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ al-Imran (3):104]

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita telah memuhasabah undang-undang yang melarang wanita meminta mahar yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya. Hujah wanita itu, undang-undang tersebut bertentangan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala:

“ Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikit pun..” [TMQ an Nisa’ (4):20]

Khalifah Umar pun terus menukar arahannya dengan mengatakan: “Benar perkataan wanita itu!”
Jelaslah wanita tidak terlepas daripada bebanan politik seperti mana wanita-wanita terdahulu. Apa lagi alasan kalian wahai muslimah?

Khamis, 29 September 2011

PEMILIK MAHAR PALING INDAH : UMMU SULAIM

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,“Aku masuk ke syurga lalu terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata beliau ialah Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”[HR Bukhari]

“ Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu kekal di dalam taman-taman dan sungai-sungai di tempat yang disenangi, di sisi Yang Maha Berkuasa” [Al-Qamar: 54-55]”

Bersama orang-orang Ansar
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah mendoakan orang-orang Ansar dengan doa baginda yang sangat istimewa;

“ Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar dan anak orang-orang Ansar serta cucu orang-orang Ansar” [HR Bukhari dan Muslim]

Srikandi tauladan kita kali ini ialah salah seorang wanita Ansar, yang termasuk di kalangan sahabiyah yang mulia dan paling utama. Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan RasulNya.

Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan iman sejak pertama kali beliau mendengarnya, lalu beliau menghadirkan fenomena tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman. Sahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak di dalam peperangan!”

Di kesempatan ini, marilah kita susuri nasab sahabiyah yang mulia ini, yang biografinya harum semerbak, enak didengar dan menyenangkan hati. Beliaulah Ummu Sulaim bintu Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Anshariyah Al-Khazrajiyah. [Siyar Alamin-Nubala, 2/304]. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi tauladan buat kita semua.

Keteguhan Iman Ummu Sulaim
Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Ini menunjukkan barakah dan ketajaman akalnya, disamping iman, keikhlasan dan kebenarannya. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiat di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Iman meresap ke dasar hatinya dan kekal terpateri di sana. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga kerana itu beliau tetap teguh di hadapan suaminya yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar. Ayuh kita ikuti kisah ini.

Sejurus selepas pengislaman Ummu Sulaim, suaminya kembali seraya memarahi beliau dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”. Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas, “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memimpin tangan anaknya, Anas dan mengisyaratkan Anas agar mengucapkan lafaz syahadatain. Anas akur. Malik, suami Ummu Sulaim semakin marah dengan tindakan isterinya sehingga beliau menengking dengan kasar, “Jangan kau rosakkan anakku!”. Tetapi dengan penuh kebijaksanaan Ummu Sulaim menjawab, “Sesungguhnya aku tidak merosakkannya, tetapi menunjukinya kepada kebenaran”. Dengan membawa kemarahan yang menggumpal, Malik bin An-Nadhar memulakan perjalanan ke Syam, tetapi dibunuh musuhnya di pertengahan perjalanan tersebut. Ketika berita kematian suaminya sampai ke pengetahuan Ummu Sulaim, beliau menerimanya dengan berlapang dada dan bertekad untuk memelihara Anas sebaik-baiknya. Beliau juga berjanji tidak akan berkahwin semula sehinggalah Anas membenarkannya berbuat demikian.

Sejak itu, perhatian beliau tertumpah kepada pendidikan anaknya. Beliau mengajarkan Anas tentang kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan Islam. Setelah Baginda Rasul tiba di Madinah sebagai muhajir, Ummu Sulaim segera mendatangi baginda dengan membawa Anas yang ketika itu masih kanak-kanak dan belum mencapai usia baligh. Beliau berkata kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:

“Wahai Rasulullah, ini Unais (nama kecil Anas). Aku mendatangi engkau agar dia mengabdi kepada engkau. Maka berdoalah kepada Allah bagi dirinya” Maka, baginda bersabda, “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya” (Dala’ilun-Nubuwwah, 6/194-195).

Anas mendapat bimbingan dan pengasuhan di rumah Rasulullah yang kemudiannya menghantarkan beliau kepada kedudukan mulia sebagai salah seorang sahabat terkemuka.

Ummu Sulaim benar-benar mengotakan janji yang pernah diucapkan kepada anaknya. Beliau mendidik Anas dengan sebaik-baik didikan, sehingga Anas pernah berkata, “Semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada ibuku kerana beliau telah mengasuhku dengan sangat baik” .

Mahar Yang Paling Indah
Ummu Sulaim juga tidak menerima lamaran-lamaran yang datang kepadanya sehinggalah Anas berusia cukup dewasa. Beliau kemudiannya dilamar oleh Abu Talhah Al-Anshary yang ketika mengajukan lamaran tersebut masih seorang musyrik. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh di dalam masyarakat. Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata

“Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”

“ Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya Abu Talhah.

“Hendaklah engkau menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam” Jawab Ummu Sulaim.

Abu Talhah segera beranjak untuk menemui Rasulullah yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian, dan tanda-tanda keislaman tampak di antara kedua matanya”. Abu Talhah memberitahu Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya. Ummu Sulaim berkata kepada anaknya, “ Wahai Anas, bangkitlah dan nikahkanlah Abu Talhah”.

Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!” (Shifatush Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29).

Firasat Ummu Sulaim terhadap Abu Talhah ternyata benar, sehingga beliau meraih kebahagiaan kerana kebaikan, keikhlasan dan kemuliaan suaminya. Abu Talhah juga berhak mengecap kebahagiaan kerana pernikahannya dengan seorang wanita Mukminah yang bertakwa, Ummu Sulaim, yang kerana beliaulah, Abu Talhah keluar dari kegelapan syirik ke cahaya tauhid, Islam dan jihad. Allah kemudiannya memuliakan suami isteri ini dengan kelahiran seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

Ternyata Allah Subhanahu wa Taala berkehendak untuk menguji keluarga suci ini, yang sedari hari pertamanya lagi telah dibangun dengan ketakwaan. Di sinilah Ummu Sulaim tampil dengan gambaran istimewa lagi mengagumkan dari kisah-kisah sahabayiyah sezaman beliau. Beliau menghadirkan keutamaan sehingga tindakannya ini mekar sepanjang sejarah hingga Allah Subhanahu wa Taala mempusakakan dunia dan seisinya.

Suatu hari, Umair jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Abu Thalhah pergi ke masjid. Ummu Sulaim menerima pemergian anak kecil itu dengan jiwa yang redha dan sabar seraya berucap, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Beliau membaringkan jasad anaknya di atas tempat tidurnya dan berkata kepada ahli keluarganya yang lain,”Jangan kalian sampaikan khabar ini kepada Abu Talhah berkenaan anaknya. Biar aku saja yang menyampaikan hal ini kepadanya”.

Sekembalinya dari masjid, Abu Talhah bertanyakan keadaan Umair, “Bagaimanakah keadaan anakku?”

“Dia lebih tenang dari keadaan sebelumnya” jawab Ummu Sulaim. Kemudian Ummu Sulaim menghidangkan makan malam kepada Abu Talhah dan menghiaskan dirinya secantik mungkin. Pada malam tersebut, mereka berjima’ dan setelah selesai, Ummu Sulaim mengkhabarkan kematian Umair kepada suaminya. Abu Talhah bersedih serta timbul kemarahan di hatinya. Beliau mendatangi Rasulullah dan menceritakan perlakuan isterinya. Mendengarkan kisah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di tengah umatku seorang wanita yang sabar seperti kesabaran wanita Bani Israel”. (As-Sirah Al-Halabiyah, 3/74)

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya kepada Abu Talhah, “Apakah semalam kalian telah berjima’?”. “Ya”. Jawab Abu Talhah. Rasulullah mendoakan keberkahan bagi pasangan tersebut dan doa baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam ini dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Taala,. Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah hasil dari perhubungan tersebut. Diriwayatkan, Abdullah bin Abu Talhah termasuk orang-orang yang soleh. Tanda itu jelas terlihat di wajahnya. Abayah bin Rafi’ berkata, “ Aku melihat anak itu di kemudian hari mempunyai tujuh anak lelaki yang kesemuanya hafal Al-Quran” (Ath-thabaqat, 8/334; Sifathush-Shafwah, 2/69; Dala’ilun-Nubuwwah, 6/199)

Apakah Yang Engkau Miliki Wahai Ummu Sulaim?
Ummu Sulaim radhiallahu anha sentiasa memberikan hadiah dan makanan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Allah Subhanahu wa Taala juga memuliakan beliau dan memberkati pemberiannya kepada baginda Rasul. Kisah ini dituturkan sendiri oleh Anas bin Malik ketika mengkhabarkan barakah dari kebiasaan ibunya itu. Ummu Sulaim pernah mengarahkan seorang pembantunya untuk menghantarkan makanan berupa daging kambing kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Selesai menghantarkan pemberian tersebut, kantung kosong tersebut dikembalikan ke rumah Ummu Sulaim di saat beliau tiada di rumah. Sekembalinya ke rumah, Ummu Sulaim mendapati kantung tersebut masih penuh berisi. Lantas, beliau kembali kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk meminta kepastian.

Ummu Sulaim berkata, ” Demi yang mengutusmu dengan kebenaran dan agama yang benar, kantung ini masih penuh berisikan makanan yang kuberikan padamu sedangkan engkau wahai Rasulullah telah menerimanya dari pembantuku”

Baginda lantas menjawab, ”Wahai Ummu Sulaim, apakah engkau hairan kerana Allah telah memberikan makanan kepadamu sebagaimana engkau telah memberikan makanan kepada RasulNya? Makanlah dan berikanlah makanan itu kepada yang lain”. Ummu Sulaim kembali ke rumahnya dan membahagikan makanan itu di dalam sebuah mangkuk besar untuk 2000 orang sehingga ia menjadi bekalan makanan untuk tempoh sebulan atau dua bulan! (Hayatus-Sahabah, 3/635)

Anas turut menceritakan bahawa ibunya sering mengirimkan talam yang berisi kurma segar kepada baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam kerana mengetahui kesukaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu. Dalam kisah yang lain, Abu Talhah pernah memberitahu kepada Ummu Sulaim tentang keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang sedang menahan lapar yang teramat sangat dengan berkata, ” Aku mendengar suara Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melemah. Aku melihat beliau merasa lapar. Maka, apakah engkau mempunyai sesuatu yang boleh diberikan kepada baginda?”. Ummu Sulaim segera mengeluarkan beberapa gumpalan adunan roti dari tepung gandum dan menyuruh anaknya, Anas untuk mengirimkannya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam yang sedang berada di masjid bersama dengan para sahabat. Oleh kerana ramainya para sahabat yang mengelilingi Rasulullah ketika itu, Anas merasa malu untuk menyampaikan pemberian yang sedikit itu. Menyedari kehadiran Anas, Rasulullah segera menyapanya dengan berkata, ” Adakah orang tuamu mengutusmu ke sini?”. Anas mengiyakan. Rasulullah segera bersabda kepada para sahabat untuk berangkat ke rumah Abu Talhah. Di saat itu, Abu Talhah mulai ragu kerana mereka tidak memiliki sesuatu apapun untuk dihidangkan kepada para tetamu yang ramai tetapi Ummu Sulaim mencelah, ”Percayalah, Allah dan RasulNya lebih mengetahui!”

” Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau miliki saat ini?” Tanya Rasulullah.

Ummu Sulaim membawakan beberapa gumpalan roti yang ingin diberikannya kepada Rasulullah sebelumnya. Baginda mendoakan barakah ke atas pemberian tersebut, maka mereka semua menikmati makanan tersebut sehingga kekenyangan, walhal bilangan para sahabat ketika itu mencecah 90 orang lelaki. Subhanallah! (Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 1/357; Dala’ilun-Nubuwwah,2/532; Wafa’-ul-wafa’, 3/881-882. Diriwayatkan oleh Muttafaq Alaih. Imam Malik turut meriwayatkannya di dalam Al-Muwaththa’).

Kedermawanan dan kemurahan hati Ummu Sulaim tidak berhenti setakat di situ sahaja. Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menikahi Zainab binti Jahsy, beliaulah yang menyediakan jamuan walimatul urus tersebut dengan menghidangkan makanan kegemaran Rasulullah sendiri. Barakah dari pemberian tersebut juga (dengan izin Allah) dapat menampung bilangan para sahabat yang ramai menghadiri majlis tersebut.

Maha suci Allah di atas segala kebaikan dan keberkatan yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang beriman!

Wanita Yang Memenuhi Hak dan Kebajikan
Ummu Sulaim radhiallahu anha termasuk di kalangan para sahabiyah utama yang bijaksana, memiliki pendapat yang lurus, kecerdikan dan firasat yang tinggi disamping berada pada akhlak-akhlak yang mulia serta menghimpun beberapa sifat yang baik dan suci. Lantaran keperibadiannya inilah, beliau sering mengajukan persoalan-persoalan berkaitan agama kepada Rasulullah.

Tentang sikap beliau ini, Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu anha pernah berkata, ” Sebaik-baik wanita ialah wanita-wanita Ansar. Mereka tidak merasakan malu untuk bertanya tentang masalah-masalah agama dan untuk memahaminya” (Ath-Thabaqat, 8/421).

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga sering mengajarkan pelbagai masalah agama dan ibadah kepada beliau. Di antaranya seperti yang diungkapkan oleh Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam mengunjungi Ummu Sulaim lalu mendirikan solat tathawu’ di rumah beliau, lalu beliau bersabda, ”Wahai Ummu Sulaim, jika engkau sudah selesai mendirikan solat wajib, maka ucapkanlah subhanallah sepuluh kali, alhamdulillah sepuluh kali dan Allahu Akbar sepuluh kali, kemudian mohonlah kepada Allah menurut apapun kehendakmu, kerana dengan demikian akan dikatakan kepadamu, ’Ya, ya,ya!’”

Dengan akhlak dan kecintaan beliau kepada Allah dan RasulNya jualah yang menghantarkan beliau kepada kedudukan yang tinggi di sisi baginda Rasul, sehingga baginda sering mengajarkan dan memberikan pengarahan secara halus dalam pelaksanaan ibadah beliau. Ibnu Sa’d menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bertanya, ”Mengapa Ummu Sulaim tidak menunaikan haji bersama kami pada tahun ini?”

Ummu Sulaim menjawab, ”Wahai Nabi Allah, suamiku hanya memiliki dua ekor unta. Yang satu digunakannya untuk menunaikan haji dan satunya lagi dia tinggalkan untuk mengairi kebun kurmanya”

Maka baginda bersabda,” Jika tiba bulan Ramadhan, maka kerjakanlah umrah, kerana umrah pada bulan tersebut setara dengan haji di bulan Zulhijjah”. Dalam hadith lain, beliau bersabda,”Umrah pada bulan Ramadhan itu akan menggantikan hajimu bersamaku”.

Keberanian dan Jihadnya
Kita telah mengenali tokoh wanita kali ini sebagai seorang wanita yang terpandang, mulia dan terhormat, termasuk golongan wanita yang terawal menerima Islam. Kita juga telah mengenalinya sebagai isteri yang solehah, ibu yang penuh kasih sayang, ahli ibadah yang taat, dermawan dan murah hati. Lalu, bagaimana pula dengan jihadnya?

Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang ikut berjihad bersama Rasulullah. Ath-Thabrany mentakhrij dari Ummu Sulaim radhiallahu anha, beliau berkata, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berperang yang disertai beberapa wanita dari kalangan Ansar, lalu kami memberikan minum orang-orang yang sakit dan mengubati orang-orang yang terluka”

Diriwayatkan juga dari Anas bin Malik ra, beliau berkata, "Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam pernah berperang bersama Ummu Sulaim serta beberapa wanita lain di kalangan Ansar, yang bertugas memberikan minuman dan mengubati orang-orang yang terluka.” (Ditakhrij Muslim)

Al Imam Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim radhiallahu anha ikut bersama di dalam Perang Hunain dan Uhud, dan dia termasuk wanita yang utama. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/304).

Muhammad bin Sirin, seorang tabi’in mulia pernah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam di Perang Uhud padahal ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah bin Abu Thalhah. Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan di pinggangnya. Abu Thalhah menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk mengkhabarkan tindakan isteri beliau. Hasilnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tersenyum mendengarkan tingkah sahabiyyah terdekat tersebut. Baginda lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu dan dijawab dengan berani oleh beliau, ”Jika ada salah seorang antara orang-orang Musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku sendiri!”

Inilah dia salah seorang sahabiyyah yang mendapat kemuliaan jihad di sisi barisan kaum Muslimin. Semoga Allah Subhanahu wa Taala mengurniakan balasan setimpal buat beliau.

Kerana Aku Sangat Menyayanginya!
Di antara bukti yang menunjukkan bahawa Ummu Sulaim memiliki kedudukan yang khusus dan istimewa di sisi Rasulullah boleh dinilai dari pertuturan Anas bin Malik, ”Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak biasa memasuki rumah lain selain rumah Ummu Sulaim.Ketika hal ini ditanyakan kepada Baginda Rasul, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ’Kerana aku sangat menyayanginya, saudaranya terbunuh ketika bersama aku” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Saudaranya yang dimaksudkan di sini ialah Haram bin Milhan, yang turut sama berjihad di medan Badar, Uhud, lalu gugur syahid fi sabilillah dalam Perang Bi’r Ma’unah pada tahun keempat setelah hijrah. Beliaulah yang mengucapkan kata-kata terkenal ”Demi Rabb Kaabah! Aku telah meraih keberuntungan yang besar” sejurus selepas beliau ditikam musuh dari arah belakang sehingga hujung tombak menembusi dadanya dan mata tombak terlihat dari arah hadapan tubuhnya. Semoga Allah redha kepadaNya seperti redhanya beliau kepada Tuhannya. (Siyar A’lamin-Nubala’, 2/307; Al-Ibtishar, hal. 36).

Rasulullah sangat sering mengunjungi Ummu Sulaim di rumah beliau, memberikan sesuatu dan mendoakan keluarga tersebut. Anas meriwayatkan hal ini dengan berkata,” Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam datang ke rumah kami, sementara yang ada di rumah hanya aku, ibuku, dan ibu saudaraku, lalu beliau bersabda, ’Bangunlah kalian, kerana aku akan solat bersama kalian. Para wanita solat di sebelah kanan baginda. Selesai solat, baginda mendoakan segala kebaikan dunia dan akhirat bagi kami” (Al-Ibtishar, hal. 39-40).

Anas juga pernah menuturkan, ”Jika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu tidak jauh dari tempat Ummu Sulaim, maka baginda akan menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya” (Diriwayakan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Nasaei)

Maka, cukuplah kebanggaan dan kemuliaan bagi Ummu Sulaim kerana Rasulullah sendiri telah mengkhususkan kunjungan, salam, doa dan solat di rumahnya.

Nisa’ Mubasysyarat Bil Jannah!
Sahabiyah Ummu Sulaim radhiallahu anha adalah salah seorang wanita utama yang meninggalkan jejak yang abadi di dalam sejarah Islam. Al Imam An-Nawawy Rahimahullah berkata tentang dirinya, ” Dia termasuk wanita-wanita yang utama” (Tahdzibul-Asma’, 2/363).

Beliau seorang isteri yang solehah, daie yang bijaksana dan pendidik yang utama dengan cara menyerahkan anaknya ke madrasah Nubuwwah untuk menceduk ilmu dan hikmah langsung dari sumbernya sehingga anak beliau meraih gelar dan darjat yang tinggi di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Di samping itu, Ummu Sulaim radhiallahu anha juga seorang penghafal hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau meriwayatkan empat belas hadis dari baginda, dua hadis Muttafaq Alaihi, satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan dua hadis diriwayatkan oleh Muslim.

Ummu Sulaim radhiallahu anha juga mendapatkan khabar gembira sebagai salah seorang nisa’ mubasysyarat bil jannah (wanita yang dijamin syurga). Khabar ini disampaikan melalui Anas bin Malik radhiallahu anhu yang menuturkan dari sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, ”Aku masuk syurga lalu aku terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata aku sedang berhadapan dengan Al-Ghumaisya’ bintu Milhan” [HR Bukhari]

Al-Ghumaisya’ dalam hadis di atas ialah Ummu Sulaim radiallahu anha. Sesungguhnya keberuntungan yang besar bagi diri sahabiyah utama ini atas keredhaan Allah dan kecintaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam terhadapnya.

Rabu, 15 September 2010

FATIMAH IBU MITHALI

FATIMAH binti Asad ialah ibu kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi Muhammad.

Semasa Nabi Muhammad tinggal dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.

Segala makan minum, tempat tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu mengikut kemampuan mereka.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Fatimah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.

Anak-anak Fatimah juga turut mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.

Nabi Muhammad sangat menghormati Fatimah seperti ibunya sendiri.

Semasa Fatimah tinggal di Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta tidur pada siang hari di rumah itu.

Begitu juga keadaan berlaku semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu.

Ada seorang lelaki tua bercerita kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: “Nampaknya keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan baik sekali”.

Lalu jiran itu berkata pula: “Bukankah Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad”.

“Ya,” jawab lelaki tua itu.

Jiran itu menambah lagi: “Sekarang ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali, anak Fatimah tinggal bersama Muhammad”.

“Ya. Saya juga dengar berita itu,” kata lelaki tua itu pula.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: “Sejak kecil Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui sifat-sifat yang ada pada Muhammad.

“Saya sendiri melihat Muhammad itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti. Muhammad tidak pernah memungkiri janji”.

“Patutlah Fatimah sanggup membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad dapat mendidik anak saya menjadi orang baik,” kata jiran itu panjang lebar.

Rata-rata orang yang mengenali Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fatimah juga menyumbang usahanya kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ali bin Abi Talib iaitu anak Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra. Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan baik.

Ada satu peristiwa yang berlaku semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.

Ali berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini”.

“Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu,” kata Fatimah kepada anak lelakinya.

Semasa Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.

Nabi Muhammad berdoa kepada Allah, “Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya. Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.

“Apabila pakaian saya koyak dan kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di akhirat kelak”.

Kisah srikandi Fatimah merupakan kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan disayangi oleh anak-anak.