Penyokong

Rabu, 24 September 2008

LAILATUL QADAR

"Lailatul qadar merupakan peluang terbaik kita untuk memperoleh ganjaran pahala digandakan sebanyak seribu bulan, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Akan tetapi, suatu persoalan yang amat penting, iaitu mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadar? Mungkin antara sebabnya ialah:


1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadar, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak berhajat melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadar.

3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-qadar memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2.Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan.

3. Kita mesti membuang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-qadar untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah s.w.t. yang berupa nikmat Lailatul qadar dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita menyahut panggilan surah al-Qadr dengan melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam terakhir ini dengan melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat terawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. , beriktikaf di masjid dan sebagainya lagi dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.

sumber : ust shauqi

Rabu, 10 September 2008


Hari ini dah 10 hari kita berpuasa. Tinggal 20 hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. NisaMelaka yakin kini sudah ramai yang meninjau-ninjau sesiapa yang ada menjual kuih raya untuk ditempah. Iyalah bagi wanita-wanita yang bekerja, bukannya malas nak buat kuih tapi dek kerana keadaan masa yang tidak mengizinkan, jadi jalan yang terbaik adalah menempahnya saja.

Untuk pengetahuan pengunjung blog, NisaMelaka dibawah lujnah ekonomi Nisa Melaka ada menjual berbagai-bagai jenis kuih raya. Kuih-kuih ini dibuat sendiri oleh ketua l.ekonomi, Pn Rogayah.

Antara kuih yang boleh didapati adalah:

1. Kuih Tart Gulung

2. Almond London

3. Strawberri cookies

4. Mamar caries

5. Kelapa Horlicks

6. Biskut Pistachio

7. Biskut Badam

8. Choco Pachal

9. Apple Cookies

10. Pudding marble

11. Kek Coklat
12. Kek Lapis asam masin

Untuk Maklumat lanjut & Tempahan, Sila hubungi Pn Rogayah 019 6267178 @ 016 6324716.
Pembelian yang anda lakukan sebenarnya adalah membantu NisaMelaka dalam mengumpulkan dana untuk meneruskan kerja-kerja amal. Muga segala kerja baik kita akan dinilai Allah dan diberikan ganjaran yang terbaik disana nanti. InsyAllah.





Selasa, 9 September 2008



Salam Ramadhan

Buat adik-adik yang menduduki UPSR yang bermula hari ini. Macamana ye? Harapan NisaMelaka agar semuanya berjalan dengan baik.

Harapan NisaMelaka juga agar paper pada hari ini dapat dijawab sebaik yang mungkin dan mudah-mudahan untuk paper-paper yang akan datang juga.

Adik-adik yang tersayang,
Kebetulan peperiksaan UPSR yang jatuhnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini, jadi NisaMelaka menasihatkan ambillah kesempatan dibulan yang penuh keberkatan ini untuk memohon kepada Allah agar dipermudahkan ,dipertajamkan ingatan dan didatangkan idea-idea yang bernas supaya dapat menjawab soalan seperti yang dikehendaki. NisaMelaka yakin dan percaya sekiranya adik-adik telah berusaha sebelumnya, insyaallah kejayaan akan pasti menyusul.

Untuk akhirnya kepada adik -adik semua , calon UPSR, jadilah yang TERBAIK antara yang BAIK.

Rabu, 3 September 2008

Artikel menarik untuk dihayati bersama-sama ;

Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama ; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

drmaza.com
Malam ini merupakan malam yang ketiga kita berada dibulan Ramadhan. Kepada sesiapa yang telah berjaya melaksanakan sembahyang tarawih pada malam ini dia telah berjaya mendapatkan:-

Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Sesungguhnya amat rugilah bagi mereka yang tidak mengambil kesempatan ini.

Selasa, 2 September 2008

Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang mengirimkan kata-kata hikmah sempena Bulan yang mulia ini, bulan Ramadhan kepada nisaMelaka. Wajarlah kiranya nisaMelaka berkongsi bersama dengan pengunjung-pengunjung semua, agar dapat bersama kita mengambil manafaat darinya. Antara kata-kata hikmah yang kirimkan
1. Dari K.Gayah
Moga Allah jadikan pagimu cahaya, zohormu gembira, asarmu seronok, maghribmu keampunan dan doamu tidak ditolak dan diluaskan rezekimu serta ianya tidak diambil balik dan dibuka padamu pintu syurga tanpa sempadan. lagi-lagi kalau menyahut cabaran Ramadhan.
2. Dari Zulhilmi
Kian berlabuh tirai syaaban, lambaian Ramadhan kian dinanti, luhur hati ikhlas amalan, Semoga segala ibadat Allah berkati.
3. Dari Shaiha
Tiada hari semulia Jumaat, Tiada kata seindah zikir, Tiada ibadah semanis solat, Tiada bulan seberkat Ramadhan. Itulah tanda kasih Allah kepada insan yang sering alpa. Hadirnya Ramadhan penghapus dosa penyuci jiwa, keikhlasan membuah ketaqwaan.
4. Dari Linda
May Allah's swt love walks with you, HIS barakah bless U, HIS hidayah guides U, HIS presence surrounds U, HIS rezeki support U, PROBLEM will stay away from U, TRUE FRIENDS stand beside U and LOVE surround U & Family.
5. Dari K.Nab & Rahila
Di ufuk Syaaban ini kami menghadapMu Illahi, mohon maghfirahMu atas hamba yang lemah dan kerdil ini.Mendambakan cintaMu yang tulus ,suci dan hakiki. Mohon taufik dan hidayahMu muga hati ini tenteram cekal menempuh kehidupan beronak duri, menyusuri jalan suci yang terbentang lurus, menuju kehidupan hakiki di akhirat yang kekal abadi. Marhaban ya Ramadhan. Di bulan mulia ini kami mengharap rahmatmu Illahi agar diberi kekuatan dalam mempertingkatkan ibadah agar kehidupan kami lebih diberkati didunia dan diakhirat nanti.
6. Dari nadia
The beautiful Ramdhan is coming. In my most noble honour, pls forgive anything in the past. May Allah swt give us the best Ramdhan ever, Amin...
7. Dari k. Ros
Muga Ramadhan yang kita lalui kini menjadi medan untuk kita berlumba menambahkan amalan dan pahala.
8. Dari Sofia
Setahun sudah kau tingalkan aku, hati rindu tidak terperi. Kini kau hadir menjenguk kembali. Ubati rinduku yang sabar menanti. Oh ramadhan al Mubarak.
Marilah bersama kita berazam untuk memperbaiki diri dan berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan Ramahan kali ini adalah yang terbaik, kerana belum tentu Ramadhan yang akan datang kita sempat untukmenikmatinya.....Oleh itu sahabat jangan tunggu lagi, pastikan insyaAllah sekurang-kurangnya sembahyang tarawih tidak seharipun kita ketinggalan dan Al quran dapat kita khatamkan....