Penyokong

Jumaat, 27 Jun 2008

GEJALA MENGUMPAT
Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah S. A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabda nya bermaksud
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"
(Hadis Riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, is disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud: Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"
(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah S. A. W.
"wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri"
(Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud :Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu perbanyakkan lah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Sedar-sedarlah yer hidup kita dah tak lama ..
7 KALIMAH YANG ELOK DIAMALKAN


Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih dilautan.

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.

4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, kerana sudah biasa.
SEDEKAH YANG PALING MURAH
Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki , Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah roman mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.

Sebagaimana kata Rasulullah,"Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."Namun demikian tidak berarti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, merias tubuh maupun dalam sikap hidup sehari-hari. Nabi sendiri jubahnya seringkali sudah luntur warnanya tapi senantiasa bersih. Umar bin Khattab walaupun jawatannya kalifah, pakaiannya sangat sederhana dan bertambal-tambal. Tetapi keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat. Roman mukanya berseri.

Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah roman muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya. Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, pikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang."Anda ingin beramal soleh...?

Selasa, 24 Jun 2008

MELANCONG MEMBERI HIDAYAH
Sesungguhnya melancong boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi pelancongan.
Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada."
(Surah al-Hajj, ayat 46)
Jelas sekali tujuan melancong yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti melancong itu.

Walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong. Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup. Melancong bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa melancong hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Ketika melancong hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pelancongan yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia." (Surah Ali Imran, ayat 112)
Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya. Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

Firman Allah yang bermaksud: "Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Surah al-Mulk, ayat 3)
Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan. Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadis Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan. Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ. Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan.
Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia. Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan. Melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa. Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah."
(Surah al-Anam, ayat 11)
Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa."
(Surah an-Naml, ayat 69)
Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ia membuktikan tujuan mencari ilmu lebih diutamakan dalam pakej pelancongan.

Isnin, 23 Jun 2008

Permasalahan Sekitar Menoton Wayang, Filem, Drama, Dan Lakonan Menurut Islam

Oleh: Nuur Fakhrul as-ShiddiQ

Disini, saya tidak berniat membuat sebarang kesimpulan berkenaan hukum-nya, namun telitilah hujah-hujah yang saya bawakan di bawah ini, dan fikirkanlah. Kerana saya berpandangan, anda semua telah sedia matang dan memahami dengan situasi yang anda sekalian hadapi... Dan jika ada perbahasan yang lain, semoga dapat sama-sama diutarakan.

Hujah-hujah:
- Banyak membazirkan masa:
Menonton drama, filem, atau lakonan pada masa ini sebenarnya tidak lebih dari sekadar membuang masa dengan benda-benda yang tidak berfaedah dan membawa kepada hal-hal yang maksiat. Adalah lebih baik, masa-masa yang terluang itu digunakan untuk perkara-perkara yang mendatangkan ilmu dan hasil yang baik. Dan sebenarnya, orang Islam itu nanti akan diminta untuk bertanggungjawab di atas segala waktu yang telah digunakannya di masa hidupnya. Dia dituntut untuk memelihara dan mengambil faedah dari waktunya, untuk mengamalkan apa-apa yang diredhai oleh Allah Ta'ala, sehingga manfaatnya kembali kepadanya samaada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Mengandungi pendustaan:
Sungguh telah ada ancaman dari Rasulullah bagi orang yang berdusta untuk menertawakan manusia dengan ancaman yang keras. Yakni dari Muawiyah bin Haidah bahwasanya Rasulullah bersabda, Celakalah bagi orang-orang yang berbicara sedangkan dia dusta (dalam pembicaraannya) bagi membuatkan orang lain ketawa, maka celakalah bagi dia, celakalah bagi dia. [Hadits hasan dikeluarkan oleh al-Hakim (1/46), Ahmad (7/35) dan At-Tirmidzi (2315)]


- Meniru perwatakan orang lain untuk dilakonkan: Telah datang hadis yang sahih yang mencela orang yang menirukan gerakan seseorang, dan larangan dari yang demikian itu, dari Aisyah bahawa Rasulullah bersabda, “Sungguh saya tidak suka menirukan seseorang dan sungguh bagi saya seperti ini dan seperti ini”. [Shahih dikeluarkan oleh Imam Ahmad (6/136-206) dan At-Tirmidzi (2501)]


Dalam hal ini, berkata Sheikh Soleh Fauzan: Individu-individu yang ditiru, kadang-kadang berasal dari tokoh-tokoh Islam, seperti para sahabat. Hal ini dianggap sebagai sikap meremehkan mereka, baik si pelakon merasa atau tidak. Contoh: anak kecil atau seseorang yang sangat tidak memahami, menirukan ulama atau sahabat. Ini adalah tidak dibenarkan. Kalau ada seseorang datang menirukan kamu, berjalan seperti jalanmu, apakah engkau redha dengan hal ini? Bukankah sikap ini digolongkan sebagai sikap merendahkan diri kamu? 


Walaupun orang yang meniru tersebut bermaksud baik menurut sangkaannya. Tetapi setiap individu tidak akan rela terhadap seseorang yang merendahkan dirinya.
Sebagian daripada mereka pula, ada yang menirukan peribadi kafir seperti Abu Jahal atau Fir'aun dan selain mereka. Dia berbicara dengan pembicaraan yang kufur yang menurut sangkaan serta harapannya dia hendak membantah kekufuran, atau ingin menjelaskan bagaimana keadaan jahiliyah (keadaan orang yang sesat). Ini adalah tasyabuh (menyerupakan). Rasulullah s.a.w. melarang tasyabuh dengan orang-orang musyrik dan kufur baik meniru (menyerupai) kepribadian maupun perkataannya, seperti mana dalam hadis daripada Ibnu Hibban: “berbezalah dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani..” [Taqrib Ibnu Hibban (2186)]


- Berlaku percampuran lelaki dan wanita serta pendedahan aurat:
Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa adalah wajib bagi kaum lelaki dan perempuan itu menjaga pandangan serta pergaulan mereka di antara satu sama lain. Selain dari itu, Allah s.w.t. juga mewajibkan kita menjaga batasan aurat. Ini biasanya berlaku samaada di dalam wayang (filem yang ditonton), atau di kawasan menonton wayang tersebut.


Firman Allah SWT :
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. [an-Nuur: 30]


Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka (kepada bukan mahram mereka)... [an-Nuur: 31]


- Sewajarnya kita mencegah maksiat di depan mata:
Tetapi, kebanyakkan mereka yang menontong wayang, hanya berdiam diri melayan nafsu dan membiarkan maksiat terus berlaku. Sabda Rasulullah SAW : Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman. [Sahih Muslim, no: 49]


- Berlaku percampuran di antara maklumat yang benar dengan yang batil
Sebenarnya, dalam masalah ini... kita sedia maklum, telah banyak alternatif lain yang membolehkan kita untuk mendapatkan maklumat dan info dengan jalan yang lebih selamat dan aman daripada maksiat. Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil (mungkar) dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.
[al-Baqarah: 42]


Kesimpulan:
Abu Abdillah Jamal bin Furaihan Al-Haritsi berkata dalam hal berdakwah dengan filem (drama atau filem), “Apabila sejumlah besar dari berbagai kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan bertaubat kepada al-haq dengan jalan yang syar'i dan memang sewajarnya harus demikian. Maka mengapa seorang da'i (pendakwah) mencari jalan yang tidak terdapat di dalam syara'? Lagi pula bahawa sesungguhnya apa yang terdapat dalam syara' sesungguhnya telah mencukupi untuk memperoleh tujuan dakwah kepada Allah. 


Yakni menjadikan ahlu maksiat bertaubat dan orang-orang yang tersesat mendapat petunjuk. Hendaklah para da'i melapangkan dirinya tatkala berdakwah kepada Allah dengan sarana yang para sahabat melapangkan diri mereka di atasnya. Sesungguhnya mereka kembali menuju kepada ilmu.


Ibnu Mas'ud berkata, 'Sesungguhnya kalian akan menciptakan perkara yang baru dan akan diciptakan perkara baru untuk kalian, maka, apabila kalian melihat perkara yang baru, wajib atas kalian berpegang dengan perkara yang pertama (Rasulullah dan para sahabat)'. Ibnu Mas'ud berkata pula, 'Hati-hati kalian terhadap bid'ah, hati-hati kalian terhadap berlebih-lebihan, hati-hati kalian terhadap melampau-lampau dan wajib kalian berpegang teguh dengan generasi yang dahulu.” [Hujaj al-Qawiyyah karya Syaikh Abdussalam bin Barjas hal 43]