Penyokong

Rabu, 31 Oktober 2007

BERSIHKAH KITA ??


Salam Syawal


Agak lama juga Nisa' Melaka 'bercuti' dari mengupdatekan blog ini. Terima kasih kepada pengunjung yang setia melayari blog ini.


Hai macamana keadaanya setelah berpuasa sebulan dan menyambut kemenangan ini dengan berhari raya? Ada sesetengah tu memang raya sakan, tambahan pula waktu-waktu ini banyak pulak rumah-rumah terbuka. Ye le...puasa sebulan, raya pun kena le sebulan juga. Tak gitu???




Bila mengenangkan bulan puasa yang telah berlalu pergi, barulah disedari sebenarnya terlalu banyak perkara yang kita sanggup buat dibulan puasa tetapi tak sanggup kita lakukan dibulan-bulan lainnya. Buktinya?? Kita sanggup bangun awal untuk bersahur dan terus bersolat tahajud tapi agak liat nak dilakukan sekarang ini. Quran dapat kita khatam dalam masa sebulan aje, tapi kalau bulan lain jangan harap le.... Bila lihat orang lain makan macamana sedap pun kita boleh tahan, tapi kini memang tak tahan. Kita dapat berdiet menurunkan beberapa kilo berat badan dalam masa sebulan tapi bila raya aje, kita boleh menaikkan berat badan beberapa kilo dalam masa beberapa minggu aje.Betulkan Kak Bedah?. Lepas ni pakat-pakat le kita beramai-ramai buat blood check, manalah tau paras kolesterol, kencing manis dan penyakit yang seangkatan dengannya kot-kot dah singgah kat kita.




Bila teringat semula pesan tok guru, kita selepas bulan ramadhan ibarat telah melalui kelahiran semula untuk mendapatkan kebahgiaan didunia dan keselamatan diakhirat. Namun renungkanlah pesanan itu. 


APAKAH KITA SEBENARNYA TELAH BENAR LAHIR SEMULA DALAM KEADAAN YANG PUTIH BERSIH? TEPUKLAH DADA TANYALAH IMAN......

Rabu, 10 Oktober 2007


Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.
2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan
3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka
4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka
5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak. Amin..

Selasa, 9 Oktober 2007

HARI RAYA MASA KINI


Sewaktu menonton slot iklan di setiap saluran TV, diperhatikan hari raya yang bakal tiba penonton-penonton akan dihidangkan dengan pelbagai jenis hiburan. Antara yang wajib ada ialah nyanyian dan tarian. Program-program seperti ini pastinya akan membuatkan ramai anak-anak dan remaja akan melekat didepan TV. Biarlah tak beraya kerumah sesiapa yang penting tak miss siaran yang diminati. Inilah agaknya antara faktor yang menyebabkan agenda kunjung-mengunjungi dikalangan kanak-kanak dan remaja sudah tidak semeriah dulu lagi.
Masih diingat lagi waktu dulu-dulu masa masih bergelar kanak-kanak, pagi-pagi lagi setelah berpakaian indah, port yang pertama perlu dilawati adalah masjid. Meskipun kadang-kadang tak turut sama bersembahyang pun tapi dah bagai satu tradisi. Selesai saja agenda di Masjid, Kubur pula menjadi sasaran. Paling best kat kubur ni bila selesai sahaja bertahalil, orang ramai akan bersedekah duit. Masa yang amat-amat syok ialah bila duit-duit siling akan dilemparkan dikawasan kubur, maka kanak-kanak akan berebut mencari duit tersebut ( macam dalam ceta P.Ramlee tu...Ali Baba).Habis je...bermulalah acara ziarah menziarahi rumah ke rumah dalam kampung(Secara Berjemaah)..biasanya satu kampung tu dironda tak kiralah kenal ke tak dengan tuan rumah, yang penting mesti singgah...tak makan pun at least minum air.

Masa berziarah, tak terlintas pun dalam kepala untuk pungut duit raya, waktu tu amalan memberi duit raya ni masih jarang dilakukan. yang biasanya bagi makan kuih, lemang dan macam -macam lagi makanan. Tu yang perut dah tak boleh nak tampung bila dah lebih 10 buah rumah dilawati. Tapi masa tu memang best sebab sehari beraya dipenuhi dengan berziarah, balik rumah pun bila dah senja..

Budak sekarang dah lain, Pergi rumah orang pun sebab nak duit, balik rumah sibuk kira duit raya yang dah dikumpul. Kalau ada ceta best kt TV, minta maafle... melepak depan TV lebih afdal. Mak bapak pun sama, siap tutup pintu takut orang datang nanti terjejas plak konsentrasi menonton TV.

Bila dikenangkan masa-masa dulu dan sekarang, banyak sangat dah berubahnya..mungkin inilah akibatnya bila kita terlalu mengejarkan sangat kemodenan. Bukan kita yang kawal teknologi tapi teknologi yang dah control kita..Apa-apapun mana yang baik kita ambil mana yang tidak kita tinggalkan.

Untuk semua rakyat Malaysia yang Gemilang dan Cemerlang, marilah kita ujudkan semula acara ziarah menziarahi seluruh saudara mara sahabat, teman dan jiran, kerana ianya adalah amalan mulia untuk kita mengeratkan lagi silaturrahim...

Akhirnya doa Nisa' Melaka mudahan-mudahan raya kali ini adalah yang terbaik dan termeriah dari tahun-tahun sebelumnya dan jadikan ianya sebagai SATU KENANGAN YANG TERINDAH.....


ANDA DAN NISA', KITA LAKSANAKAN IMPIAN BERSAMA.

Ahad, 7 Oktober 2007

SELAMAT HARI RAYA

Dikesempatan ini Nisa' Melaka mengucapkan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN....

Jumaat, 5 Oktober 2007

Bertempat di Bayview Hotel Melaka, Nisa’ Negeri Melaka telah berjaya mengadakan program Nisa’ Smallkindness II (bersama anak –anak yatim) pada 29 September lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan ini bertujuan untuk memupuk rasa bertanggungjawab dan sikap perihatin masyarakat terhadap anak-anak yatim yang kurang berkemampuan dalam menyambut sinar syawal yang bakal tiba.

Kehadiran 50 anak-anak yatim bersama penjaga mereka dari seluruh negeri melaka telah diraikan dengan memberikan sedikit sumbangan oleh Nisa’ Melaka berbentuk barangan hamper dan duit raya. Antara agenda program adalah tayangan slaid Nisa’, deklamasi sajak oleh adik Nurhidayah Mohd Din, Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Dr Azmi Mohd Shah dan penyampaian Puisi oleh Puan Kintan Man. Program ini telah dirasmikan oleh Penaung Nisa’ Negeri Melaka, Dr Khatijah Jumangat.

Suasana yang pada awalnya meriah bertukar pilu sewaktu Dr Azmi menyampaikan Tazkirah Ramadhan yang telah menyentuh keadaan anak-anak yatim yang telah kehilangan orang tua mereka tanpa sempat untuk mereka kecapi kasih–sayang, belaian dan perhatian yang mereka perlukan. Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang masih mempunyai ayah dan ibu, maka hargailah kedua orang tua sementara mereka masih bernyawa. Penyampaian puisi oleh Puan Kintan disertai oleh anak-anak yatim yang berada di atas pentas telah menyentuh hati penonton sehingga ramai yang menitiskan airmata. Sementelah lagi Puan Kintan juga merupakan ibu tunggal yang memelihara anak-anak yatim.

Menurut kata Puan Rogayah Harun, Timbalan Pengarah Program, “Program ini dapat dilaksanakan atas sokongan yang diberikan oleh orang ramai yang telah bermurah hati menderma. Meskipun sumbangan yang diberikan oleh Nisa’ Melaka tidaklah sebesar mana, namun diharapkan ianya memberikan erti buat semua. InsyaAllah sekiranya masyarakat terus memberikan sokongan kepada Nisa’, Nisa akan terus mengadakan program-program seumpama ini dimasa-masa akan datang.” Ketika ditanya tentang kejayaan program ini.

Sumbangan–sumbangan itu telah disampaikan oleh Pn Mahani Osman, Pengarah Nisa’ Melaka, Dr Khatijah Jumangat, Puan Hajjah Kintan Man dan Dr Azmi Mohd Shah kepada anak-anak yatim tersebut.




Selasa, 2 Oktober 2007

Mencari Lailatulqadar....


Hari ini adalah hari yang ke 20 kita berpuasa, bermakna kita telah masuk ke fasa ketiga iaitu fasa untuk mendapatkan keampunan dari Allah. Pada malam ke 10 terakhir ini juga Allah menjanjikan satu malam yang mana ianya lebih baik dari seribu bulan...LAILATULQADAR . Jesteru itu marilah sama-sama kita memulakan ekspedisi untuk mencari malam tersebut.
Untuk mencari malam LAILATULQADAR ini kita perlu bersungguh-sungguh. Allah akan melihat kesungguhan hambanya. Marilah tiap malam mulai malam ini kita berniat ikhlas kepada ALLAH agar kita diantara HAMBA yang dipilih ALLAH untuk bertemu dengan malam LAILATULQADAR ini.
Sesungguhnya antara tanda-tanda LAILATULQADAR itu adalah, dimalam itu dirasakan ketenangan yang luarbiasa berbanding sebelumnya, malam itu juga dirasa agak amat berat untuk melakukan ibadah kecuali kepada orang yang benar-benar berusaha untuk melakukanya. Pada keesokan harinya cuaca berasa amat tenang dan matahari tidak memancar terik.
Oleh itu berbahagialah orang yang menemuinya setelah bersungguh-sungguh mencarinya.....ANDA bagaimana????